18 April 2010

Kalimat 7: Orang Mukmin Mestilah Meninggal Riba - Perbuatan Yang Diharamkan Allah

Menghayati Kalimat Mu'minin  7: Surah Al Baqarah 278




Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. 
(2:278)

  
TAFSIRAN

PERBINCANGAN 1 

1. Dalam ayat ini keseluruhannya Allah menggabungkan 3 elemen yang sangat terkait dengan orang yang beriman  iaitu 
    • “wahai orang yang beriman”
    • “bertaqwalah kamu kepada Allah”
    • “sekiranya kamu benar-benar beriman” 
Penggabungan elemen-elemen ini sudah pasti menunjukkan kepentingan ayat yang dinyatakan Allah.  Sedangkan yang diseru Allah adalah kepada manusia yang beriman kepadaNya. 

2. Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyatakan bahawa penggabungan perkataan dalam ayat ini adalah bimbingan langsung daripada Allah terhadap hamba-hambaNya yang beriman.  Yang dimahu Allah ialah hamba-hambanya sangat dekat denganNya, mengasihiNya dan memperolehi rahmatNya.  Dengan bimbingan langsung perkara yang dibenci Allah iaitu penindasan manusia ke atas manusia (riba) maka hamba-hambanya terjauhlah dari murka Allah terhadap mereka di dunia dan akhirat. 

3. Asbabun Nuzul ayat ini, Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini berkaitan dengan Thaqif (dari Bani Amr Bin Umeir) dengan Mughirah ( dari bani Makhzum).  Terjadi riba semasa mereka dalam jahiliyah.  Setelah kedatangan Islam dan mereka memeluknya.  Maka Thaqif meminta hartanya daripada Mughirah.  Mugirah mengatakan kepada Thaqif “ Kami tidak akan melakukan riba dalam Islam dan akan menggantikannya dengan usaha Islami” Utab ibnu Asid pemimpin Mekah mengutus surat kepada Nabi Muhammad saw.  Maka turunlah ayat ini menjawab pertanyaan Utab tersebut.  Setelah diketahui oleh mereka tentang keharaman riba maka mereka pun bertaubat kepada Allah. 

4. Ayat ini dimulai Allah dengan seruan “Wahai orang yang beriman”.  Hanya orang yang beriman bersedia untuk mentaati perintah Allah dalam keadaan senang atau susah. Hanya orang yang beriman sahaja yang bersedia untuk meninggalkan segala kepentingan dunia demi suatu penghidupan yang sempurna di akhirat.

5. Manusia yang hanya berbekal dengan Islam tanpa iman kepada Allah adalah manusia yang engkar.  Digelar mereka dengan gelaran
    • musyrik -  memohon kepada selain Allah 
    • munafik-  iman hanya dibibir dan banyak berpura-pura
    • fasiq -  melakukan amalan dosa yang berterusan
    • fasad -  melakukan kerosakan di bumi  
 Kelompok manusia yang berstatus seperti ini memiliki banyak kepentingan di dunia.  Mereka melihat bahawa kehidupan  ini hanyalah sekali dan untuk itu mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk meraih keuntungan dunia tanpa mengira batas halal dan haram di sisi Allah.  Mereka tidak bersedia untuk mengikut perintah Allah untuk kepentingan kehidupan akhirat yang kekal abadi. 
6. Di dalam Al-Qur’an terdapat 83 ayat yang dimulai Allah dengan seruan “Wahai orang yang beriman”.  Orang yang merasa diri beriman jangan sekali-kali berasa selesa kerana terdapat tuntutan yang banyak untuk dilaksanakan di dalam kehidupan. 


PERBINCANGAN 2 
7. Untuk memperteguhkan larangan yang mesti dijauhi oleh mereka yang beriman maka Allah membimbing lagi dengan perkataan taqwa kepada Allah.  Taqwa kepada Allah adalah mencurahkan kasih sayang kepada Allah dengan mengikut segala yang disuruh oleh Allah dan meninggalkan segala yang dilarang Allah.  Kepatuhan yang tulus ini akan meletakkan orang yang beriman tidak lagi bertangguh di dalam perkara taat kepada Allah.  Mereka dengan sukarela meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah.
 8. Jalan taqwa adalah jalan yang menguji tahap ketaqwaan seseorang kepada Allah.  Peraturan jalan yang dibuat oleh manusia maka mestilah manusia itu mematuhi peraturan jalan.  Ada lampu isyarat, ada tanda had laju, ada tanda tidak boleh U-Turn,  ada tanda tidak boleh berhenti di tepi jalan dan lain-lain tanda isyarat.  Sekiranya tanda-tanda ini tidak dihiraukan maka datanglah saman daripada trafik ke rumah.  Begitu jugalah jalan taqwa yang di sepanjang jalan ini terdapat batas-batas yang dihalalkan Allah dan juga batas-batas yang diharamkan Allah.  Mana-mana manusia yang melanggar batas-batas yang diharamkan Allah maka dia akan dibalas dengan dosa.  Begitulah juga kepada manusia yang mengikut perintah Allah maka dikurnia oleh Allah akan pahala yang berpanjangan. 
9. Dalam suatu hadis Nabi Muhammad saw meletakkan isyarat jelas bahawa Taqwa adalah duduk di dalam hati.  Maka apabila ketaqwaan hendak ditingkatkan dalam kehidupan sudah pasti benda yang dimakan manusia juga mestilah perkara yang dihalalkan Allah.  Keuntungan dari perniagaan yang halal walau kecil adalah halal di sisi Allah dan ia akan memberi kesan yang tinggi terhadap taqwa dan kasih sayangnya kerpada Allah.  Keuntungan dari perniagaan secara riba walau kecil tetap dimurkai Allah.  Hanya manusia yang berkasih dengan Allah sahaja yang mampu menurut segala perintah Allah.


PERBINCANGAN 3 

10. Dalam potongan ayat ini Allah menjelaskan perkara yang mesti ditinggalkan oleh orang yang beriman iaitu riba.  Ibnu Kathir dalam tafsirnya mentakrifkan riba iaitu harta yang merupakan kelebihan dari pokok yang harus dibayar oleh orang lain (peminjam). Pengharaman riba sangat jelas dalam Islam.  Jual beli dalam bentuk riba juga diharamkan Allah.

11. Riba adalah suatu lambang kezaliman.  Mereka yang memiliki modal akan terus menjadi golongan yang menindas yang miskin.  Memang perniagaan secara riba akan terus mengaut keuntungan.  Namun keuntungan tersebut terhasil daripada suatu penindasan sesama manusia.  Justeru Islam dengan tegas meletakkan pengharaman keatasnya.

12. Islam mengangkat suatu jual beli itu melalui aqad.  Status sesuatu jual beli itu terletak pada aqadnya.  Rukun jual beli ada 4 – ada penjual, ada pembeli,ada barang yang hendak dijual dan aqad.  Untuk kegiatan ekonomi hari ini maka orang yang beriman akan terpaksa membuat pinjaman.  Marilah orang yang beriman membuat  pinjaman di Bank Islam atau kaunter perbankan Islam sebagai alternatif terhadap bank konvensional. 


PERBINCANGAN 4 


 13. Dalam potongan akhir ayat ini Allah membuat pernyataan bagi terus memperkukuhkan kedudukan iman dan taqwa.  Sekiranya kamu benar-benar beriman apakah wujud kesanggupan meninggalkan larangan Allah dalam kehidupan ini?  Walau disana ada kepentingan yang sangat banyak dan menguntungkan.  Pernyataan ini juga adalah untuk meletakkan kembali peranan iman dan taqwa.  Belum lagi dikatakan beriman dan bertaqwa sekiranya tidak mahu meninggalkan perkara yang dilarang Allah.  Belum memperolehi rahmat di dunia dan balasan syurga diakhirat kepada golongan yang terus bergelumang dengan perkara yang dilarang Allah.  Al-Qur’an dengan jelas meletakkan pengharaman terhadap riba, arak, judi, tenung nasib, penyembahan berhala, memakan bangkai, babi, anjing.  Tetapi perkara-perkara inilah  yang dihalalkan pemerintah melalui lesen-lesen yang dikeluarkannya secara berleluasa.  Marilah orang yang beriman terus berjihad supaya suasana mungkar ini akan dapat diislahkan kepada yang diredai Allah.