15 April 2010

Kalimat 6: Orang Mukmin Mestilah Berkerajaan dengan Kerajaan Yang Menegakkan Hukum Allah

Menghayati Kalimat Mu'minin  6: Surah Al Baqarah 248




Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: "Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman".   (2:248) 


TAFSIRAN
PERBINCANGAN 1



1.  Dalam potongan ayat ini Allah hendak menunjukkan kaitan yang jelas antara orang yang beriman dengan pembentukan sebuah kerajaan yang mematuhi perintah Allah. Inilah sunnatullah.  Allah telah mengangkat raja sebagai Nabi dan Rasul iaitu Nabi Daud dan Nabi Sulaiman.  Allah juga telah mengangkat Nabi Yusuf sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap kewangan negara Mesir.  Allah juga telah mengangkat Nabi Muhammad saw sebagai ketua Negara Islam Madinah. 

2.   Marilah orang yang beriman mengikuti sunnah Nabi Muhammad saw dalam bab bernegara.  Suatu ketika Saidina Umar lalu dihadapan Nabi Muhammad saw dengan membawa kitab Taurat.  Lalu Nabi saw bersabda yang bermaksud

“Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam kekuasaanNya,
sekiranya Nabi Musa muncul kepada kamu lalu kamu
mengikutnya dan meninggalkan daku, sudah tentu kamu
akan sesat dari jalan yang betul dan sekiranya dia masih hidup
lagi dan berada dalam masa aku menjadi Nabi sudah tentu dia menurutku”
(Darimi)

3. Potongan ayat ini adalah perintah daripada Rasul  kepada umatnya bahawa akan diangkat seseorang menjadi raja.  Perintah ini sudah pasti datangnya daripada Allah.  Raja yang dimaksudkan ialah Thalut yang dikurniai Allah dengan kekuatan ilmu dan kesihatan tubuh badan. Perlantikan ini dibantah oleh Bani Israel.  Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyatakan bagaimana bantahan Yahudi terhadap perlantikan ini.  Yahudi mengatakan bahawa mereka lebih layak menjadi raja kerana Thalut tidak dianugerahi harta kekayaan untuk menegakkan sebuah kerajaan.  Ini adalah bantahan secara langsung Yahudi terhadap Rasul mereka. Yang mesti mereka lakukan ialah mentaati perintah tersebut. 

4. Orang yang mu’min mestilah berjihad untuk menegakkan kerajaan yang beriman kepada Allah.  Nabi Muhammad saw berkerajaan mengikut Al-Qur’an dan Sunnah selama 10 tahun di Madinah. .  Seluruh Khulafa ar-Rasyidun meneruskan perjuangan membina kerajaan yang berteras Al-Qur’an dan Sunnah selama 25 tahun kemudiannya. Datang kemudiannya kerajaan Bani Umayyah, Abasiah dan yang terakhir ialah kerajaan Uthmaniah.  Dunia bergelumang dengan kerajaan yang berteraskan Al-Qur’an dan Sunnah selama lebih 800 tahun lamanya.  Berdasarkan pengalaman yang lama ini Islam sudah cukup dan mampu untuk memimpin tamadun kemanusiaan. 

PERBINCANGAN 2


5Pada potongan ayat ini terdapat dua perkara yang saling bertaut iaitu tabut dan sakinah.  Menurut Ibnu Kathir dalam tafsirnya, Tabut didalamnya ada terdapat ketenangan dan keagungan.  Ibnu Kathir juga mengambil pandangan ‘Atha yang mengatakan bahawa tabut itu ialah ayat-ayat Allah yang kamu cenderung kepadanya. Hamka dalam tafsir Azharnya mnyatakan bahawa Tabut itu ialah perkataan daripada Taurat yang merupakan perjanjian antara Allah dengan Bani Israel.   Oleh kerana tabut adalah datang daripada Allah maka sudah pastilah datang kemudiannya unsur ketenangan (sakinah)

6. Sakinah pula terdapat berbagai tafsiran mengenainya. Yang difahami oleh masyarakat Islam, sakinah membawa ketenteraman.  Oleh  itu dalam banyak tafsiran, Hamka mengatakan bahawa sakinah itu ialah tenteram, ketetapan hati, keteguhan semangat sehingga tidak berganjak lagi.  Hamka juga meriwayatkan tafsiran Ibnu Abbas bahawa dia menafsirkan sakinah itu ialah rahmat. 

7. Dua potongan ayat diatas adalah sangat penting yang meletakkan hubungan antara melaksanakan perintah Allah dan didatangkan sakinah kepada yang membuatnya.  Inilah yang dicari manusia iaitu ketenteraman, ketenangan dan rahmat Allah.  Mereka yang melarikan diri daripada Al-Qur’an dan Sunnah atau yang melaksana hanya sebahagian daripadanya maka sudah pasti tidak akan memperolehi sakinah daripada sisi Allah.    Kesimpulan daripada dua potongan ayat ini meminta orang yang beriman mengikat kehidupan secara berjemaah kerana amalan menegakkan sebuah kerajaan yang berasaskan Al-Qur’an dan Sunnah adalah memerlukan sebuah jemaah yang besar. Kehidupan secara berjemaah itu akan memupuk sifat

      1. Jihad,
      2.  infaq, sedekah, wakaf,
      3.  ujian yang mengangkat sifat kesabaran,  menahan kemarahan, 
      4.  mematuhi arahan kepimpinan,
      5.  beramal secara amal jama’iy, 
      6.  berjuang ketika senang dan susah,
      7.  memerdekan diri dengan penyembahan hanya kepada Allah,
      8.  Bertawakkal hanya kepada Allah 
      9.  Memupuk semangat cinta hanya kepada Allah dan Rasul 
Berdasarkan sifat yang terbina diatas maka tidak hairan datanglah sakinah yang diingini oleh seluruh manusia.  Ini kerana tumpuan yang jelas terhadap kehidupan akhirat.  Hendaklah orang yang beriman itu menyedari bahawa dalam kehidupannya terdapat 2 kewajipan beramal iaitu beramal sendiri (personel based) dan beramai-ramai, berjemaah (jemaah based).  Kedua-dua jemis amalan ini hendaklah diangkat dalam kehidupan beriman.  Orang beriman janganlah berasa selesa hanya dengan amalan sendiri tetapi hendaklah bangkit melaksanakan amalan secara berjemaah bagi mencapai hakikat sakinah daripada Allah.

Amalan sendiri Amalan berjemaah
Solat, Menegakkan Negara Islam/jihad
Puasa Bekerja menyeru al-ma’ruf
Zakat Berusaha mencegah al-mungkar
Haji Solat berjemaah
Taat kepada ibu bapa Berkoperasi – perniagaan
Taat kepada suami Berkeluarga
Berinfaq Membangunkan institusi sekolah
Berwakaf Memajukan jemaah/memenangkan jemaah
Dan lain-lain Kerja-kerja pilihanraya
Daya sabar tidak di uji Kesabaran diuji
       
Dalam aspek amalan sendiri daya kesabaran adalah berada dalam tahap yang rendah.  Tiada halangan untuk melaksanakan amalan.  Sekiranya kita nak solat, tiada siapa yang akan melarang kita.  Kita mahu berinfaq sebanyak mana sekalipun, sekiranya itu adalah hak kita maka tiadalah halangan.

Namun dalam konteks hendak melaksanakan tuntutan berjemaah maka disana wujud ujian kesabaran.  Mahu menyatakan yang hak maka ramai orang takut dengan pelbagai ancaman.  Oleh yang demikian kerja berjemaah akan diberi pahala yang lebih besar berbanding dengan amalan sendiri.  Lihat sahaja pahala solat sekiranya didirikan sendiri maka 1 pahala dan apabila berjemaah diberi pahala 27 darjat.

Ujian kesabaran dalam menunaikan solat berjemaah, antaranya
    1. pergi ke masjid/surau/markaz
    2. kena menunggu jemaah
    3. solat mengikut imam
    4. lepas solat berzikir dan lain-lain
Maka adalah sangat dangkal pandangan yang mengatakan sama sahaja amalan sendiri dan berjemaah.  Dalam konteks solat sahaja sudah jauh bezanya 1 & 27.  Apa lagi kerja jihad menegakkan Islam. Kerja-kerja berjemaah ini semuanya akan diberi pahala jihad oleh Allah. 

PERBINCANGAN 3 


8. Dalam potongan ayat ini, Allah hendak meyakinkan kepada Bani Israel bahawa Tabut itu ialah peninggalan warisan daripada Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa.  Hamka dalam tafsir Azharnya menyatakan bahawa di dalam Tabut ada sesuatu yang mententeramkan hati dari Tuhan hasil peninggalan Nabi Musa dan Nabi Harun.  Demikianlah perjuangan Talut yang berasaskan kepada sumber daripada Allah.  Kepimpinan Talut dibimbing dengan bimbingan Allah.  Justeru kepimpinan yang berasaskan kepada sumber Ilahi datanglah sakinah tersebut.  Marilah kitab bertanya apakah sumber pemerintah yang memerintah kita pada hari ini?  Juga hendaklah ditanya kepada seluruh rakyat yang beriman apakah mereka pangkah dalam pilihanraya adalah parti yang bersumber kepada Al-Qur’an dan Sunnah atau ikut hawa nafsu sahaja.

9. Kepimpinan yang curang dan derhaka terhadap Al-Qur’an dan Sunnah sudah pasti yang membelit pemimpin tersebut tidak lain daripada syaitan-musuh nyata bagi orang yang beriman.  Memang tidak hairan pemimpin seperti ini mereka sentiasa melakukan perkara yang diharamkan Allah dan melaksana perkara yang mungkar.  Mimun arak, rasuah, mencuri wang rakyat berbilion ringgit, mencuri injin jet,  mengambil komisyen jualan barang dan lain-lain.  Tumpuan mereka ialah dunia dengan segala isinya.  Maka larilah sakinah daripada mereka.  Sakinah bagi mereka adalah fatamorgana yang macam ada tetapi hakikatnya tiada. 


PERBINCANGAN 4




10. Potongan ayat ini Allah menjelaskan bahawa apa yang diturunkan kepada Nabi Musa itu adalah diturunkan oleh Malaikat dengan perintah Allah.  Taurat diturunkan oleh Malaikat Jibril dengan izin Allah.  Tabut adalah warisan daripada Nabi Musa.  Atas asas yang kukuh ini Bani Israel mentaati Talut yang dikurniai Allah dengan kekuatan akal dan jasad.

11. Itu zaman Talut sedangkan di zaman kini sudah terbentang Al-Qur’an yang juga diturunkan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad saw untuk digunapakai oleh umat manusia sehingga hari Qiyamat.  Kenapa orang yang beriman kini masih lagi berdolak dalik untuk melaksanakan perintah didalam Kitab Al-Qur’an.  Sedangkan meyakini Kitab-Kitab Allah adalah salah satu daripada rukun Iman.  Sempurnakah iman dengan menolak arahan Al-Qur’an?  Sempurnakah iman sekiranya hanya beramal sebahagian daripada Al-Qur’an?  Allah berfirman dalam Al-Qur’an surah Al-Baqarah ayat 85


 
Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? 


PERBINCANGAN 5 


12. Dalam potongan ayat yang akhir ini sekali lagi Allah Taala mencabar orang yang mu’min untuk kembali memperteguhkan iman kepada Allah.  Segala tanda kebesaran telah ditunjukkan oleh Allah tetapi kenapa manusia masih tidak mahu beriman dengan kitab Allah.? Segala nikmat Allah diambil oleh manusia tetapi kenapa mereka masih tidak mahu berjihad dan berjuang menegakkan hukum Allah?   Kenapa manusia masih mengemukakan pelbagai alasan duniawi? Sedangkan yang bersifat duniawi akan fana dan dihancurkan Allah.  Yang kekal tidak lain hanyalah yang ada disisi Allah.

13. Wahai orang yang mu’min segeralah memperteguh iman kepada Allah.  Cukuplah Allah menjadi saksi dan pemberi ganjaran terhadap seluruh amal yang dibuat.  Tingkatkan amal sehingga menuju kepada kemuncaknya.  Jangan sekali orang mu’min itu sudah merasa selesa dengan segala amalnya.  Sekiranya seorang mu’min sudah banyak berinfaq untuk jihad fisabilillah, dia belum lagi sampai ke kemuncak iaitu berinfaq seluruh harta sepertimana yang dibuat oleh Saidina Abu Bakar dan Saidatina Khatijah.  Sekiranya seorang mu’min sudah melakukan ketaatan kepada Allah, dia belum lagi setaat seluruh para sahabat termasuk sahabat yang paling lemah di sisi Nabi Muhammad saw yang Nabi mengatakannya adalah seperti bintang di langit.  Sekiranya ada mu’min sudah berjuang berhabisan, dia belum lagi mencapai makan Mus’ab bin Umair yang meninggalkan segala kekayaan dan kesenangan demi suatu perjuangan dan sakinah di sisi Nabi Muhammad saw.  Mus’ab bin Umair menemui syahid di Uhud dan sedang menikmati nikmat disisi Allah.  Marilah kita terus mencontohi perjuangan Nabi Muhammad saw dan seluruh para sahabat yang diredai Allah.