08 April 2010

Kalimat 1: Orang Mukmin (Yang Sebenar Beriman) Mestilah Membebaskan Diri Daripada Sifat Kemunafikan

Menghayati Kalimat Mu'minin  1: Surah Al Baqarah 8



Dan di antara manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat"; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.(2:8) 



TAFSIRAN

1. Ayat diatas adalah ayat permulaan tentang sifat munafik dalam surah Al-Baqarah.  Ayat 1-5 adalah ayat yang menjelaskan sifat orang yang bertaqwa.  Ayat 6-7 adalah ayat yang menjelaskan tentang manusia yang kafir.  Ayat 8-20 adalah ayat yang memperihalkan ciri manusia Islam yang tidak beriman iaitu munafik.  Jadi ayat ke-8 adalah ayat permulaan Allah menceritakan sifat munafik dan kepura-puraan orang yang mengaku beriman tetapi iman hanyalah dibibir sahaja.
 
2. Orang munafik bersifat membuat pengakuan 
    1. beriman kepada Allah
    2. beriman kepada Hari Akhirat
 
namun pengakuan mereka hanyalah dibibir sahaja.  Mereka berpaling daripada iman dan bertindak hanya mengikut hawa nafsu sahaja.  Al-Maraghi dalam tafsirnya menyatakan bahawa munafik adalah kafir yang paling keji.  Ini disebabkan mereka bukan sahaja kafir tetapi mengejek, menipu, dan memalsukan tindakannya.  Bersandarkan ayat surah an-Nisa 145 Allah menyediakan balasan paling keji kepada golongan munafiqeen dengan azab yang paling bawah.




Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang paling bawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka. (4:145)


3. Dalam konteks kehidupan maka yang hendak ditonjolkan dan dihayati tidak lain adalah sifat orang yang beriman.  Sifat nifak atau munafik hendaklah dijauhi.  Ibnu Kathir dalam tafsirnya menjelaskan bahawa terdapat dua jenis nifak iaitu nifak keyakinan akan mengekalkan pelakunya dalam neraka dan nifak perbuatan yang termasuk dalam dosa-dosa besar.
 
4. Kaum munafik hanya wujud di Madinah. Tiada di Mekah.  Yang ada di Mekah ialah kaum musyrikin yang menentang Nabi Muhammad saw secara berdepan.  Namun di Madinah terdapat satu lagi cabaran kepada Nabi Muhammad saw iaitu cubaan menggugat perjuangan Nabi Muhammad saw dari dalam.  Madinah adalah kota kosmopolitan.  Terdapat kepelbagaian kabilah dan bangsa, bahasa dan adat.  Cabaran penentangan ini diketuai oleh 3 kabilah bangsa Yahudi iaitu Bani Qunaiqa, Bani Nadhir dan Bani Quraizhah.
 
5. Ibnu Kathir merakamkan latarbelakang bapa munafik Abdullah bin Ubai bin Salul 
  • Asal   :Yahudi
  • Kabilah :Khazraj
  • Jawatan  :Penguasa Madinah, Pemimpin kabilah Aus dan Khazraj
  • Perlakuan :Menyaingi Nabi Muhammad saw, Berpura-pura Islam

6.  Maka datang ayat ini memperingatkan supaya orang yang beriman jangan tertipu dengan tipu daya orang munafik.  Mereka adalah golongan yang beriman hanya dibibir sahaja.  Malahan mengikut Ibnu Kathir orang yang beriman hendaklah menganggap bahawa orang munafik adalah orang yang jahat.  Bersandarkan firman Allah dalam surah Munafiqun ayat 1


Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: "Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau - sebenar-benarnya Rasul Allah". Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta. (63:1)

7. Sifat kemunafikan mestilah segera di atasi.  Sifat munafik memang ada pada setiap diri manusia..  Sifat munafiq mesti diganti dengan taqwa kepada Allah.  Bermujahadahlah dengan mengikut segala perintah Allah dan RasulNya.  Tidak mengingkari mana-mana perintah Allah dan Rasul sehingga berjaya di dunia dan akhirat.
 
8. Al-Qur’an memberi petunjuk sifat munafik dari ayat 8-20 surah Al-Baqarah, terdapat secara jelas satu surah yang disediakan oleh Allah dengan nama surah al-Munafiqun (11 ayat)  dan terdapat 32 ayat Al-Qur’an yang lain yang berakar kata dengan perkataan munafik.  Secara jelas Nabi Muhammad saw juga menceritakan sifat munafik yang mesti dijauhi melalui hadis-hadisnya; 
    1. Apabila bercakap - bohong
    2. Apabila berjanji   - mungkir
    3. Apabila diberi amanah – khianat
    4. Apabila bertengkar –berlebih-lebihan
 
9. Dalam kehidupan seharian banyak keputusan yang kena dibuat.  Orang yang beriman mestilah beretika dengan keimanannya kepada Allah.  Mungkir janji adalah mungkar.  Kerajaan Pusat sudah berjanji memberi royalti minyak kepada Negeri Terengganu namun ditukar kepada wang ehsan.  Begitu juga Kelantan, ketika tulisan ini ditulis wang royalti minyak di Kelantan masih berstatus wang ehsan.  Pemimpin Negara hari ini mengamalkan sifat kemunafikan yang bertentangan dengan kehendak Al-Qur’an dan Sunnah.
 
  
KESIMPULAN
 
1. Orang Islam mestilah mengangkat darjat dirinya disisi Allah sehingga ke makam menjadi orang yang beriman.  Sekiranya orang Islam sudah berasa selesa dengan keIslamannya maka ia terdedah kepada  
a. gejala musyrik - memohon kepada selain Allah seperti bomoh,
 
b. gejala munafik - berpura-pura Islam, iman hanya di bibir, tidak mahu berjuang dan berjihad untuk agama Allah, berfikir hanya untuk kehidupan dunia, mengemukakan hujah berdasarkan keduniaan, menyokong kemungkaran bagi memperolehi habuan dunia, menyokong parti yang menentang hukum Allah, menentang jihad kerana takutkan mati
 
c. gejala fasiq – melakukan dosa yang berterusan kepada Allah  tanpa mahu bertaubat kepada Allah, masih ramai orang Islam yang merokok,mengumpat, mengata orang, menyebar fitnah
 
d. gejala fasad – melakukan kerosakan di bumi seperti rampasan kuasa. Orang yang beriman tidak akan melakukan perkara ini.  Merancang rampasan kuasa, melaksana rampasan kuasa, mempertahankan rampasan kuasa, menyokong rampasan kuasa juga termasuk gejala fasad. 
 
e. gejala mungkar – yang diharamkan Allah dihalalkan, yang dihalalkan oleh Allah diharamkannya,  masih ramai lelaki Islam yang berseluar pendek, masih ramai perempuan Islam yang tidak menutup aurat,  masih ramai pemimpin Islam yang makan rasuah, masih ramai pemimpin Islam yang isterinya tidak bertudung, masih ramai orang Islam yang berstatus pegawai tinggi yang berkhianat terhadap amanah, masih ramai hakim Islam yang mengadili secara kezaliman.
 
2. Justeru orang yang sebenarnya beriman (mu’min) mestilah menterjemahkan 

  • Kasih sayangnya kepada agama Allah.
  • Mencurahkan baktinya kepada agama Allah 
  • Berjihad menegakkan hukum Allah melalui jemaah Islam yang syumul
  • Rindu kepada kehidupan akhirat yang mendapat ni’mat daripada Allah 
  • Berkorban apa sahaja demi memperolehi keredhaan Allah dan syurga 
  • Mati syahid adalah cita-cita dalam kehidupan
  • Menyatakan kebenaran walaupun seluruh manusia tidak menyukainya 
  • Menyatakan kebenaran walaupun seluruh manusia tidak menyukainya

3. Berdasarkan kepada hakikat kejadian manusia yang dilahirkan merdeka maka sifat mu’min adalah sesuai dengannya.  Mereka yang benar-benar beriman kepada Allah maka sebenarnya memperolehi kemerdekaan yang hakiki.


Ustaz Wan Ahmad Tarmizi 2010