14 April 2010

Kalimat 5: Orang Mukmin Dibenarkan Mendatangi Isteri Pada Bila-Bila Masa Dengan Mematuhi Syariat Allah

Menghayati Kalimat Mu'minin  5: Surah Al Baqarah 223



 Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman. (2:223) 
   

ASBABUN NUZUL 

Imam Jalaludin As-Sayuti kitab Asbabun Nuzul menyatakan bahawa terdapat  riwayat yang menyatakan bahawa orang yahudi beranggapan apabila mencampuri isteri dari belakang farajnya maka anak yang dilahirkan akan bermata juling.  Maka turunlah ayat ini  untuk membantah anggapan mereka. 

TAFSIRAN 

Perbincangan 1 

 
1. Dalam ayat ini Allah Taala menggabungkan sekaligus perkataan mukminin dan taqwa.  Kedua-dua tabiat perkataan ini adalah untuk meletakkan kecenderungan manusia menghampiri dan mendekatkan diri kepada Allah.

2. Mendahului ayat ini ialah pertanyaan para sahabat Nabi Muhammad saw tentang haidh.  Terdapat konflik secara jelas antara amalan Yahudi dan amalan jahiliyah. Firman Allah pada ayat 222 surah Al-Baqarah


Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid.
  
 Menurut Al-Maraghi dalam tafsirnya menyatakan bahawa lelaki yahudi tidak mahu makan bersama dengan isterinya yang kedatangan haidh malahan ada juga yahudi yang menghalau keluar isterinya daripada rumah.  Dalam konteks amalan jahiliyah pula lelaki arab juga akan melakukan sama seperti lelaki yahudi. 

3. Maka datang Islam memenuhi keperluan manusia.  Islam datang dengan melarang berlakunya persetubuhan sahaja terhadap wanita yang dalam berkeadaan haidh. Yang lain daripada itu Islam membenarkan apa sahaja untuk dibuat oleh perempuan berhaidh termasuk bersama dengan suaminya.

4. Dalam ayat ini Allah mengistilahkan perempuan itu adalah tempat bercucuk tanam bagi melahirkan zuriat.  Suatu istilah yang mudah difahami oleh seluruh manusia.  Perempuan melahirkan zuriat.  Bukan hanya sekadar untuk melepas kehendak nafsu sahaja.  Dalam Islam sama ada mahu kepada zuriat ataupun melepaskan kehendak hawa nafsu ia mestilah mengikut apa yang telah ditetapkan oleh syarak.

5. Perbuatan-perbuatan yang mendekati kepada perzinaan adalah terlarang.  Firman Allah Taala dalam surah Al Isra ayat 32


Dan janganlah kamu menghampiri zina,  

Ini adalah kerana Islam mengangkat agenda pembinaan zuriat yang baik.  Seluruh Nabi dan Rasul-rasul Allah melaksanakan perintah Allah ini.  Mereka berkahwin dan mempunyai zuriat. 

Perbincangan 2 


6. Pada potongan ayat ini Allah menyediakan pula ruang yang sangat luas untuk para ibubapa melaksanakan amal untuk melahirkan zuriat yang soleh.  Tugas seorang bapa bukan sahaja penyebab kelahiran.  Tugas seorang perempuan pula bukan sahaja mengandungkan anak dan melahirkannya.  Malahan kedua ibubapa mestilah bertanggungjawab untuk mendidik zuriat menjadi anak soleh yang taat kepada Allah dan Rasul.  Al-Maraghi dalam tafsirnya menyatakan bahawa untuk mewujudkan suasana ini (anak soleh) diperlukan seorang wanita pilihan untuk mengendong sama tugas mendidik anak bersama suaminya dengan akhlak yang mulia dan terpuji.  Seorang anak semasa pertumbuhannya akan meniru semua perbuatan ibubapanya.  

7. Inilah lapangan amal yang luas.  Berusaha untuk mendidik anak dengan pendidikan Islam yang akhirnya akan melahirkan anak yang taat kepada Allah.  Pendedahan yang awal hendaklah dibuat terhadap anak.  Pendidikan tentang 
  • jihad,
  • syahid,
  • jemaah Islam,
  • infaq, sedeqah,
  • wakaf,
  • tahajjud,
  • puasa sunat,
  • pembacaan Al-Qur’an yang berterusan
  • taat pada perintah agama 
dan bersesuaian dengan tahap pendidikan anak-anak hendaklah dibuat.  Melambatkan pendedahan ini akan menyebabkan kerugian dalam amalan anak-anak.  Jalan pintas tidak lain menghantar anakbelajar di sekolah agama yang ditadbir oleh rakyat bukan sekolah agama saduran seperti Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).  Jangan sama sekali melakukan penswastaan pendidikan anak-anak kepada mana-mana ustaz.  Tekuni dan sentuhilah anak-anak dengan roh keibubapaan.  

8. Marilah bermuhasabah, 
  • Bilakah kita didedahkan dengan perkataan jemaah Islam dan dari manakah kita memperolehinya?  Apakah ibubapa kita yang membuat pendedahan awal mengenainya?
  • Amal Jama’iy bilakah kita mendapat pendedahannya?
  • Pembacaan Al-Qur’an – siapakah yang mengajar anak kita mengaji Al-Qur’an? Bilakah anak kita mula mengaji Al-Qur’an?  Orang Melayu tidak dapat meniru budaya orang Arab dalam mengajar anak mengaji Al-Qur’an.  Orang Arab mengajar anak mengaji Al-Qur’an seawal umur anak 5 tahun.  Imam Syafie Rahimullah tamat membaca Al-Qur’an pada umur 7 tahun dan menghafaznya pada umur 10 tahun.  Sedangkan anak kita pada tahap umur ini lebih mengenali spiderman,badman, kluangman, cicakman, upin-ipin, tom & jerry dan lain-lain sehingga terabai pendidikan yang sepatutnya diberikan kepada anak-anak kita.
Wahai ibubapa berbuatlah sesuatu.  Perkenalkanlah kepada anak-anak ditahap ini bukan hanya dengan doa makan, doa keluar dan masuk tandas, malahan ditahap ini sudah diperkenalkan dengan perkataan jihad, jemaah Islam, syahid, infaq, sedekah dan lain-lain.  Barulah anak ini akan hidup dalam perjuangan disepanjang hayatnya. 

Perbincangan 3 
9. Pada potongan ayat ini Allah menyeru tentang “dan bertaqwalah kepada Allah”.  Seruan ini adalah untuk mengikat orang yang beriman dengan peraturan Allah.  Ada masa dihalalkan Allah, lelaki untuk mendatangi seorang isterinya yang sah dan ada masa Allah mengharamkannya.  .  Bukan sekadar mendatangi isteri itu diikat dengan taqwa malahan memilih perempuan/lelaki yang baik akhlak, mengadakan majlis perkahwinan yang ala kadar, penyusunan tempat makan lelaki dan wanita, mengadakan tazkirah atau peringatan semasa majlis perkahwinan, semua itu diikat dengan taqwa.  Budayakan dalam konteks majlis perkahwinan
  • mas kahwin yang bersesuaian (tidak melampau)
  • urusan perkahwinan yang dimudahkan
  • tarikh majlis perkahwinan yang bersesuaian
  • permulaan majlis perkahwinan dengan tazkirah/peringatan
  • pengaturan tempat makan lelaki dan wanita yang berasingan
  • jangan sampai meninggalkan kewajipan iaitu solat zohor terutama tuan rumah
  • makanan yang sederhana
  • tiada diaturkan program mungkar seperti karaoke, tari menari, nyanyian, kugiran dan lain-lain mungkar
  • Sekiranya mampu sebelah malam diadakan forum perdana dengan menjemput para ustaz untuk menghuraikan perkahwinan dari sudut Islam. 

10. Orang beriman yang mempunyai kasih sayang yang tinggi dengan Allah akan terus mematuhi peraturan yang ditetapkan Allah.  Bukan sahaja pada ayat ini dan perkara yang dibahaskan ini malahan mematuhi peraturan Allah dalam segenap urusan kehidupan.  Kehidupan orang yang beriman itu tidak lain pemikirannya hanya tertumpu untuk memperolehi keredhaan Allah.  Itulah peranan taqwa dalam kehidupan manusia iaitu melaksanakan yang disuruh Allah dan meninggalkan yang dilarang Allah.
 
Perbincangan 4 



11. Pada potongan ayat ini Allah memperingatkan manusia akan janji pertemuan yang pasti dengan Allah.  Tiada manusia yang terlepas daripada peristiwa yang berat ini.  Oleh kerana adanya pertemuan dengan Allah maka manusia tidak boleh berbuat mengikut sesuka hatinya.  Mana-mana perbuatan yang baik maka dibalas baik oleh Allah.  Begitulah sebaliknya.  Hamka dalam tafsir Azharnya menyatakan bahawa manusia itu akan dipertanggungjawabkan apakah membangun rumahtangga untuk hawa nafsu atau membina ketaatan kepada Allah.  Tidak ada manusia yang tidak menemui Allah untuk mendapat balasan di akhirat.  Seluruh manusia akan ditanyai Allah terhadap segala nikmat yang diambilnya.  Ini dipertegaskan Allah dalam surah Takathur ayat 8


 
Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!    (102:8)

Manusia tanpa mengira darjat dan kedudukan dari sultan kepada mufti, dari perdana menteri hingga rakyat bawahan akan berdiri tegak di hadapan Allah, Tuhan sekelian alam.   
       
12. Manusia akan dipertanggungjawabkan terhadap keputusan yang dibuatnya.  Sama ada suami membuat keputusan kepada isterinya, ibubapa membuat keputusan terhadap anak-anaknya, keputusan-keputusan persekitaran rumahtangganya, keputusan-keputusan bersama dengan masyarakatnya.  Apakah semua keputusan itu sesuai dengan kehendak Allah atau pun tidak.  Justeru Nabi Muhamad saw membimbing cara manusia membuat keputusan.  Sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud

“Allah tidak akan menyiksa tiga golongan, kanak-kanak sehingga dia baligh, orang yang tidur sehingga dia jaga dan orang yang gila sehingga dia sembuh” 
(hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

  13. Berdasarkan kepada hadis Nabi di atas maka semua keputusan/amal baik dan jahat yang dibuat manusia akan dicatat oleh malaikat.  Yang baik dibalas pahala dan yang jahat dibalas dosa.  Keputusan memakai seluar pendek ketika keluar daripada rumah adalah keputusan yang dibuat ketika sedar maka perbuatan itu akan ditanya Allah dan dibalasan dosa kerana bertentangan dengan kehendak Allah.  Begitu juga dengan keputusan wanita Muslim yang tidak menutup aurat pada ketika keluar  rumah adalah keputusan ketika sedar maka ia adalah keputusan yang bertentangan dengan kehendak Al-Qur’an.  Maka Allah menyediakan azab kepada mereka yang berbuat demikian.  Bagaimana pula dengan keputusan ketika mengundi dalam pilihanraya?  Apakah keputusan itu dibuat ketika tidur atau sedar?  Sekiranya ditanya kepada manusia maka keputusan itu dibuat pada ketika sedar.  Justeru mengundi walaupun rahsia tetap akan diberi pahala atau dosa oleh Allah kerana keputusan apa yang dipangkah dibuat pada ketika sedar.  Memberi undi kepada parti yang memperjuangkan hukum Allah diberi pahala oleh Allah manakala memberi undi kepada parti yang menentang hukum Allah diberi dosa oleh Allah. Anda mengundi yang mana? Hanya mereka yang berfaham sekular, tidak mempercayai Allah dan pertemuan dengan Allah sahaja memberi pelbagai alasan, antaranya
  • boleh sahaja mengundi mana-mana parti
  • sama sahaja mengundi mana-mana parti
  • mengundilah parti yang membawa pembangunan
  • mengundi parti yang berjuang hukum Allah tidak ada kemajuan
dan lain-lain lagi alasan.  Sekiranya anda yakin  pertemuan dengan Allah dan ada balasan baik iaitu syurga di sisi Allah maka berilah undi kepada parti yang memperjuangkan keadilan Islam dan hukum Allah iaitu Parti Islam SeMalaysia.

Dakyah orang yang dengki dengan perjuangan Islam dan sokongan rakyat terhadap Pe AR,  mereka akan bertanya
 
Soalan 1

Kenapa PAS berkawan dengan DiAPe & PeKayR dan tidak dengan AMeNO? 

Al-Jawab 1; AMeNO tidak berkongsi sama dengan perjuangan menegakkan keadilan dan hukum Allah.  Sedangkan DiAPe dan PeKayR mahu kepada keadilan Islam, mahu ketelusan,  tidak ada penganiayaan, membina keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat.

Al-Jawab 2 ;PAS adalah parti yang berasaskan Islam, AMeNO adalah parti yang berasaskan perkauman – bangsa.  Dalam PAS ada kelab penyokong PAS (ada kaum Cina dan kaum India) yang bersama dalam cita-cita untuk tertegaknya keadilan untuk seluruh masyarakat. Keadilan untuk seluruh masyarakat hanya ada dalam Islam.

Al-Jawab 3; PAS sudah ada pengalaman berkawan dengan AMeNO tahun 74.  Tahun 77 AMeNO terajang PAS keluar dari Bee EN.  Ini pengalaman pahit PAS dengan AMeNO.  Sudah cukup.

Soalan 2

Kenapa PAS berkawan dengan orang kafir, DiAPe? 

Al-Jawab : Apa beza AMeNO yang berkawan dengan EMCiA, EMICee?  Bukankah EMCiA, EMICee adalah kafir?

Perbincangan 5 

 
14. Penutup kepada ayat ini, Allah memberi khabar gembira kepada orang-orang mu’min bahawa segala perjuangan mereka di dunia akan dibalasi Allah dengan syurga.  Kesabaran dalam mendirikan rumahtangga dan pendidikan anak-anak meletakkan mereka tinggi disisi Allah.  Al-Maraghi dalam tafsirnya menyatakan bahawa barangsiapa memilih untuk dirinya isteri yang saleh dan berlaku baik dalam mendidik anak-anak mereka akan memperolehi kebahagian di dunia dan akhirat. 

15. Inilah perjuangan yang panjang dan  memerlukan pengorbanan yang tinggi.  Daya kesabaran menghadapi kerenah isteri dan anak-anak meninggikan makam masing-masing di sisi Allah.  Kesemua ahli keluarga didorong untuk melaksanakan jihad dan perjuangan.  Bukan sahaja memiliki keselesaan hidup di dunia namun keseluruhan ahli keluarga tetap berjuang untuk menegakkan hukum Allah, Al-Qur’an dan Sunnah.  Inilah Jihad yang tinggi nilainya di sisi Allah dan akan dibalasi dengan syurga Allah.  Al-Qur’an merakam hakikat yang menghalang tercapainya cita-cita murni ini lewat firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 14




Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).  (3:14) 


16. Manusia beriman kepada Allah yang mengejar syurga terpaksa melepasi senarai dugaan yang dicintai oleh manusia seperti dalam catatan Allah pada ayat diatas.  Sekadar mencatat halangan itu ialah
nafsu syahwat 
  • nafsu syahwat
  • kesukaan terhadap wanita sehingga menghalangi jihad 
  • kesukaan kepada anak sehingga menghalangi perjuangan
  • kesukaan mengejar pangkat dan derajat sehingga takut menyatakan  kebenaran 
  • kesukaan kepada kenderaan sehingga  menghalangi infaq
  • kesukaan kepada ternakan sehingga menghalangi infaq dan zakat.Sekiranya berinfaq dan berzakat berkehendakkan resit.  Tidak mahu berzakat dan berinfaq kepada asnaf jihad menegakkan hukum Allah
  • kesukaan terhadap kebun tanaman sehingga menghalangi kehidupan akhirat yang kekal abadi.
  • Kesukaan hidup didunia sehingga menghalangi peringatan tentang adanya kematian dan balasan disisi Allah.  Dihinggapi dengan penyakit wahnu – sayangkan dunia dan takutkan mati
 Mana-mana manusia yang beriman berjaya mengatasi halangan-halangan kemanusiaan ini maka kepadanya berita gembira iaitu balasan syurga disisi Allah.  Segala ni’mat Allah digunakan kepada jihad fisabilillah iaitu
  1. Matanya melihat, membaca yang dibenar Allah
  2. Akalnya berfikir tentang kebesaran Allah dan jihad mengembang agama Allah
  3. Telinganya mendengar yang dibenarkan Allah.  Majlis kuliah agama menjadi keutamaannya
  4. Lidah dan mulutnya diguna untuk berjihad da’wah dan menyatakan kebenaran walaupun dihadapan pemimpin yang zalim
  5. Hatinya berpasrah kepada Allah sentiasa mengharap-harap balasan baik daripada Allah
  6. Tangan dan kakinya diguna untuk berjihad menegakkan agama Allah
  7. Seluruh kehidupannya diwakafkan kepada perjuangan menegakkan agama Allah
  8. Seluruh hartanya diinfaqkan kepada jihad fisabilillah
  9. Seluruh ahli keluarganya berusaha menegakkan agama Allah di dalam kehidupan
  10. Seluruh fikirannya adalah untuk mengejar keredhaan Allah.


Ustaz Wan Ahmad Tarmizi 2010