07 April 2010

Muqadimah

Menghayati Tarbiyah Ruhiyah  Menjana Ketaqwaan Menuju Keredhaan Allah


1.0 PENDAHULUAN

Secara khusus Allah membimbing manusia yang mahu beriman kepada Allah.  Bimbingan Allah kepada manusia berterusan dalam konteks keperluan manusia di dunia yang diredahi Allah dan hubungkaitnya dengan alam akhirat yang mendapat balasan nikmat daripada Allah.  Orang yang mahu beriman itu diikat oleh Allah dengan ayat-ayat “wahai orang yang beriman” , golongan yang memperolehi kejayaan (al-muflihun), golongan orang yang bertaqwa (al-taqwa) , golongan yang mendapat keamanan (al-mu’minin), orang yang berada dalam jalan yang lurus (al-mustaqim) dan yang mendapat ni’mat di dalam syurga (al-jannah) dan dilindugi dari api neraka (an-nar).


2.0 SUMBER TARBIYAH

Tarbiyah ( تربية )  adalah perkataan yang asal dari perkataan (  ربّ ).  Akarkata ini sudah melambangkan suatu bentuk sumber tarbiyah yang jelas.  Bila dikatakan dengan kalimah Rabb maka sumbernya mestilah
  1. AL-QUR’AN
  2. AS-SUNNAH
  3. IJMA’ ULAMA 
  4. QIYAS PARA ULAMA
Sekiranya ada di kalangan para pendukung gerakan Islam merasakan bahawa semacam gerakan Islam tiada tarbiyah sebenarnya pandangan ini adalah meleset.  Al-Qur’an dan Sunnah menyediakan set pekej yang sangat jelas dalam konteks mentarbiyah manusia.  Marilah setiap daripada manusia yang beriman memujuk hatinya untuk menerima pakai tarbiyah daripada Al-Qur’an dan Sunnah.  Sekiranya terdapat penolakan terhadap ayat-ayat Al-Qur’an maka segeralah orang itu bermuhasabah imannya kepada Allah iaitu beriman dengan isi kandungan Kitab Allah (Al-Qur’an). Dalam kertas yang pendek ini tarbiyah yang hendak disebutkan ialah ibadah puasa sebagai salah satu tarbiyah untuk bertaqqarub kepada Allah.

3.0 DALIL AL-QUR’AN

Dalil yang jelas di dalam Al-Qur’an, Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 183



Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.(2:183)


Puasa yang wajib adalah dalam bulan Ramadhan.  Namun untuk mendapat puasa yang berkualiti maka siri latihan puasa yang berterusan mestilah dibuat.  Justeru dalam sunnah Nabi Muhammad saw terdapat senarai puasa sunat yang banyak.

4.0 JENIS-JENIS PUASA SUNAT
    1. puasa sunat hari-hari tertentu (9 dan 10 Muharram, 9 Zulhijah)
    2. puasa sunat pertengahan bulan Islam/hari putih (13,14,15)
    3. puasa sunat bulan Syawal (6 hari dalam bulan syawal)
    4. puasa sunat bulan Rejab (beberapa hari)
    5. puasa sunat bulan Syaaban (beberapa hari)
    6. puasa sunat Isnin dan Khamis setiap minggu
    7. puasa sunat sehari dan berbuka sehari. 

5.0 MATLAMAT PUASA

Matlamat puasa adalah ibadah dan taqwa.  Puasa mendidik manusia untuk mengasihi Allah.  Siap untuk berkorban kepada Allah melalui jalan taqwa.  Taqwa akan membawa manusia mematuhi perintah Allah dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah, bersedia untukberinfaq fisabilillah, suka kepada hal-hal yang mendekatkan dirinya kepada Allah dan bersedia menerima tarbiyah Allah di dalam Al-Qur’an dan Sunnah.  Tarbiyah daripada puasa juga akan mempersiapkan diri manusia untuk melaksanakan tanggungjawab yang lebih berat iaitu jihad fisabilillah, membela dan mempertahankan agama Allah. 

Justeru itu untuk membangun roh jihad dalam kehidupan, salah satu tarbiyah yang mesti dilalui oleh setiap mujahid ialah tarbiyah puasa. 

6.0 IBADAH YANG BERSAMA DENGAN IBADAH PUASA
      
Tarbiyah puasa akan mendorong seseorang untuk melaksanakan beberapa lagi sunnah Nabi Muhammd saw.  Antaranya

6.1  Ibadah solat sunat tahajjud,surah al-Muzammil 1-3



Wahai orang yang berselimut (1) Bangunlah di waktu malam kecuali sedikit daripadanya (2) Separuh malam atau sedikit lagi daripadanya (3)


6.2  Proses membaca Al-Qur’an dengan tartil,surah al-Muzammil ayat 4



Tambahi lagi masanya dan bacalah Al-Qur’an dengan tartil (4)


6.3  Melaksana ibadah sahur yang mendapat rahmat daripada Allah

Sahur juga adalah satu ibadah dalam sunnah Nabi Muhammad saw.  Sahur yang paling afdal adalah yang paling akhir waktunya,iaitu menghampiri waktu subuh.


6.4  Beristigfar kepada Allah di waktu sahur, Allah berfirman dalam surah al-Imran ayat 17 



(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.(3:17)

6.5  Sahur, ibadah malam (tahajud) dan puasa mempersiapkan diri manusia untuk memikul perkataan yang berat (perjuangan menegakkan Al-Qur’an) surah Al Muzammil ayat 5



sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).73:5



7.0 KHATIMAH

Sebagai penutup maka tidak ada lain ialah seruan kepada semua yang mu’minin untuk melaksanakan ibadah puasa sebaiknya.  Mudah-mudahan dengan ibadah puasa yang berterusan dilaksanakan maka mu’min tersebut akan mempunyai stamina yang tinggi untuk meneruskan perjuangan dan jihad Islami.

Ikatan diri dengan puasa dan ayat-ayat mu’minin akan memungkinkan untuk dilahirkan mujahid yang sanggup berjihad apabila dipanggil.  Ke bukit sedia didaki, ke lurah sedia di turuni,  ke laut sedia direnangi, ke negara lain sedia bermusafir demi suatu pertemuan manis dengan Allah dan memperolehi ni’mat syurgaNya iaitu mati syahid dan kembali kepada Allah sebagai syuhada.  Demikianlah seruan Allah kepada yang beriman dan yang mati syahid di jalan Allah.  Beruntung yang mengejarnya dan rugilah yang menjauhinya.  Tidak ada sesiapa yang memujuk anda.  Melainkan teruslah berusaha gigih bagi mencapai matlamat yang tinggi ini.  Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 153-154



Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar  (2:153) 



Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Agama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.  (2:154)



USTAZ WAN AHMAD TARMIZI B ABDUL AZIZ
Sarjanamuda Sains dan Pendidikan (Pengajian Islam) UTM
Pembimbing Kuliah Dhuha