21 April 2010

Kalimat 9: Orang Mukmin Mesti meyakini Mu'jizat Rasul Allah Sebagai Hujah Memperkukuhkan Iman

Menghayati Kalimat Mu'minin  9: Surah Al Imran 49



Dan (dilantikNya) seorang Rasul kepada Bani Israil, (dengan menegaskan kepada mereka): "Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak (kusta), dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman. (3:49)


TAFSIRAN

Gambaran ayat 

1. Ayat ini diturunkan Allah dengan pernyataan keajaiban-keajaiban yang ada disisi Rasul yang diutus oleh Yang Maha Berkuasa dengan meletakkan pada diri Rasul itu pelbagai mu’jizat untuk mengajak manusia kembali kepada keamanan.(beriman kepada Allah). 


Perbincangan  1 

1. Dalam potongan ayat ini Allah menyatakan kepada Bani Israel bahawa diutuskan Rasul-Rasul kepada mereka.  Rasul yang diutuskan untuk kali ini adalah Nabi Isa Al-Maseh.  Kedatangannya sudah suatu keajaiban kerana tidak melalui proses biasa kejadian manusia.  Ini juga termasuk perkara yang mesti diyakini oleh mereka yang beriman bahawa Allah menjadikan Nabi Isa itu dengan meletakkan benihnya pada ibu yang soleh Maryam.  Al-Maraghi meriwayat dalam tafsirnya bahawa wahyu turun kepada Nabi Isa ketika umurnya 30 tahun.  Tempoh wahyu diturunlkan adalah selama 3 tahun, kemudian beliau diangkat ke langit oleh Allah.. 


Perbincangan 2


 2. Tugas Rasul itu tidak lain daripada membawa aayatan (hujah) untuk meyakinkan manusia beriman dengan agama Allah.  Rasul bukan seperti manusia yang memiliki pelbagai kepentingan di dunia.  Tugas Rasul berfokus iaitu untuk mengajak manusia tunduk dan patuh kepada Allah Yang Maha Tinggi.  Bentuk hujah tersebut diterangkan Allah pada potongan ayat seterusnya. 


Perbincangan 3 

3. Mu’jizat Rasul-Rasul Allah adalah mengikut keadaan zaman Rasul tersebut diutuskan  Zaman Nabi Musa mu’jizatnya ialah melawan kehebatan ahli sihir Firaun.  Nabi Musa akhirnya menewaskan keseluruhan ahli sihir Firaun sehingga mereka beriman dengan Allah.  Begitu juga dengan zaman Nabi Isa.  Kesukaan umat Nabi Isa ialah mereka suka kepada burung.  Lalu Nabi Isa menggenggam seketul tanah liat dan membentuk seperti seekor burung lalu ditiupkan ruh kedalamnya.  Dengan izin Allah burung tersebut terbang.   


Perbincangan 4 


 4. Begitu juga mu’jizat Nabi Isa yang kedua ialah menghidupkan orang yang sudah mati dengan izin Allah.  Inilah cabaran yang tinggi daripada Allah kepada manusia pada ketika itu.  Yang berkembang pada ketika itu ialah ilmu kedoktoran sehingga manusia percaya bahawa segala penyakit ada ubatnya.  Mereka mengingkari datangnya kematian dan kewujudan balasan azab.  Mereka menentang risalah kenabian.  Sama juga mereka juga menentang balasan nikmat kepada yang mematuhi risalah kenabian.  Manusia pada pandangan mereka apabila sudah mati maka tiada lagi urusan yang berkaitan dengannya selepas kematian.  Inilah fahaman sekular yang memisahkan hidup di dunia dengan alam akhirat. 

5. Datang Nabi Isa membawa bukti bahawa Allah berkuasa menghidupkan kembali manusia yang sudah mati.  Nabi Isa menghidupkan orang yang mati dengan izin Allah adalah bukti bahawa selepas kematian ada lagi suatu kehidupan yang kekal di sisi Allah.  Perbicaraan di sisi Allah akan dibuat di alam barzah untuk seluruh kegiatan di sepanjang kehidupan.  Lalu Allah akan memberi balasan sama ada balasan yang baik atau yang azab kepada seluruh manusia.

6. Potongan ayat ini dengan tegasnya menyatakan ia bukan sahaja untuk umat Nabi Isa malahan seluruh umat Nabi Muhammad saw bahawa ada kehidupan selepas kematian untuk Allah memberi balasan kepada manusia.  Manusia yang baik akan menerima balasan yang baik daripada Allah. Manusia yang zalim dan menentang Allah akan memperolehi keazaban daripada Allah.  Inilah yang ditegaskan oleh Allah melalui firman di surah Al-Zalzalah ayat   7-8

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan diberi balasan baik (dalam surat amalnya)!  (7) Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan diberi balasan azab (dalam surat amalnya)!(8) 


Perbincangan 5 


 7. Mu’jizat Nabi Isa yang ketiga ini pula ialah hal ehwal yang berkaitan dengan kehidupan seharian manusia.  Apa yang mereka makan dan apa yang  disimpan oleh manusia diisytiharkan oleh Nabi Isa.  Al-Maraghi menyebut dalam tafsirnya bahawa Nabi Isa sering menyebut kepada seseorang apa yang ia makan dan yang bakal ia makan.  Hal yang berkaitan dengan urusan harian ini adalah untuk terus meyakinkan manusia bahawa Nabi Isa adalah Rasul Allah.   Ketepatan apa yang diungkapkan Nabi Isa tentang apa yang dimakan, apa yang akan di makan dan apa yang disimpan di dalam rumah adalah petunjuk jelas bahawa Nabi Isa dianugerah oleh Allah mu’jizat.  Ini tidak lain bagi meyakinkan seluruh golongan tentang risalah kenabian untuk menyelamatkan manusia. 

Perbincangan 6 


8. Kesemua mu’jizat adalah petunjuk benar dari Allah keatas manusia.  Mu’jizat yang pertama dalam ayat ini ialah berkaitan dengan golongan yang suka berhibur dengan  burung.  Datang Nabi Isa berda’wah kepada mereka dengan mengemukakan hujah bahawa Allah yang menciptakan burung.  Kenapa manusia suka berhibur sehingga lupa kepada Pencipta?  Begitu juga mu’jizat kedua ialah untuk meyakinkan golongan yang engkar kepada kehidupan selepas mati.  Ilmu kedoktoran tidak dapat mengatasi takdir daripada Illahi iaitu kematian.  Nabi Isa menunjukkan bahawa Allah siap berkuasa untuk menghidupkan kembali manusia yang sudah mati bagi suatu pengadilan yang maha adil.  Mu’jizat ketiga ialah untuk terus meyakinkan manusia bahawa Nabi Isa adalah Nabi dan Rasul Allah.  Hal-hal yang berkaitan aktiviti harian juga dinyatakan oleh Nabi Isa..  Begitulah kebesaran Allah.  Yang lebih dashyat daripada itu pun boleh dianugerahkan Allah kepada Rasul.


Perbicangan 7 


9. Demikianlah cabaran Allah kepada manusia yang hendak beriman.  Allah mendatangkan tanda-tandaNya untuk difahami oleh manusia bahawa kekuasaan Allah meliputi segala sesuatu.  Tiada kudrat alam yang mengatasi kekuasaan Allah.  Lalu Allah meletakkan petunjukNya ke hati manusia yang mahu beriman kepada Allah.  Inilah hakikat perjuangan dalam kehidupan.  Medan perjuangan itu bukanlah perlumbaan mengejar harta dan laba dalam kehidupan.  Ia akan dihancurkan.  Harta tidak kekal.  Yang kekal di sisi Allah ialah iman dan taqwa.

10. Sekiranya kamu benar-benar beriman maka sudah pasti segala tanda yang didatangkan Allah di dalam kitab akan terus dituruti dan dipatuhi.  Tidak sama sekali ada keazaman yang buruk untuk melawan atau menentang apa sahaja yang dikehendaki Allah.