11 April 2010

Kalimat 3: Orang Mukmin Mestilah Memberi Kesungguhan Kepada Sistem Yang Dibawa Oleh Al Quran

Menghayati Kalimat Mu'minin  3: Surah Al Baqarah 93



Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil kami berfirman): "Ambilah (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah (apa yang diperintahkan kepada kamu dengan mematuhinya)". Mereka menjawab: "Kami dengar, dan kami menderhaka". Sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah mesra dan sebati di dalam hati mereka, dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah (wahai Muhammad):" Amatlah jahatnya perbuatan iman kamu itu jika kamu benar orang-orang yang beriman".   (2:93)


TAFSIRAN

Perbincangan 1


 1.  Pada ayat ini Allah Taala memperincikan lagi keburukan dan kesalahan orang Yahudi yang menentang Nabi Muhammad saw.  Sifat ini juga mestilah dijauhi oleh mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul.  Justeru para mufassirin menyebut bahawa pendekatan Al-Qur’an, ia  datang dengan meletakkan secara khusus kepada sesuatu kaum namun ia juga boleh diambil pengajaran untuk manusia yang selepasnya. 

2. Di ayat ini Ibnu Kathir menyatakan bahawa Allah menyebut tentang pelanggaran janji, kesombongan dan berpalingnya kaum Yahudi dari Allah sehingga Allah mengangkat bukit untuk ditimpakan kepada mereka. Sebelum mereka menerima perjanjian itu.  Arahan Allah kepada Yahudi ialah untuk berpegang kuat dengan janji dan dengarlah.  Arahan ini ialah suatu bimbingan daripada Allah iaitu menyuruh Yahudi kembali menyembah Allah dan supaya mengikuti ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw.  Allah membuat bimbingan ini kepada Yahudi kerana Yahudi mengiktiraf Allah di dalam Taurat tetapi mengingkari kerasulan Nabi Muhammad saw.

3. Inilah bangsa Yahudi tidak pernah meletakkan kesungguhan sepenuh hati terhadap Al-Qur’an.  Mereka memilih mana-mana yang dikehendaki dan bersesuaian dengan hawa nafsu.  Mereka memilih Allah tetapi menolak kerasulan Nabi Muhammad saw.  Konsep ingkar inilah yang dikuti oleh seluruh bangsa di dalam dunia.  Begitu jugalah pola pemikiran sebahagian daripada bangsa Melayu terhadap Al-Qur’an.  Mereka yakin dengan Allah dan Rasul Nabi Muhammad saw tetapi tidak yakin dengan politik Islam, pemerintahan Islam dan hukum Allah.  Sekiranya dilaksana hukum Allah maka tiadalah kemajuan. 


Perbincangan 2 

 4.  Al-Maraghi dalam tafsirnya menyatakan jawapan yang dikemukakan oleh Yahudi ini adalah suatu kiasan terhadap keingkaran mereka terhadap Allah. Yahudi mengetengahkan sifat penentangan terhadap perjanjian kerana memilih hawa nafsu walaupun ia adalah bertentangan dengan kehendak Allah.  Sifat mungkir terhadap sebarang perjanjian bukanlah sifat orang yang beriman.

5.  Marilah orang yang beriman menilai perjanjiannya dengan Allah.
  • Alam ruh -berjanji menyembah Allah yang tunggal
  • Alam dunia -berjanji bahawa solat, ibadah, seluruh  kehidupan dan kematian adalah untuk Allah semata-mata
Apabila dalam kehidupan ini sudah tidak lagi berpegang dengan Al-Qur’an dan Sunnah maka kecenderungan adalah untuk memungkiri janji. Manusia yang sudah tiada ikatan dengan Al-Qur’an dan Sunnah maka sudah tiadalah ikatan dengan Allah.  Maka terdedahlah ia kepada perkara-perkara yang musyrik. 

Perbincangan 3



6. Apabila ikatan ketauhidan terlepas daripada kehidupan maka syaitan berperanan meletakkan pula suatu keseronokan ke dalam hati manusia menyembah yang selain daripada Allah.  Penyembahan ini menyegarkan mereka.  Hati Yahudi telah diresap dengan kemusyrikan dan merasai keseronokan mengenainya.  Demikianlah Al-Maraghi dalam tafsirnya menyebut bahawa penyembahan kepada yang selain daripada Allah menyegarkan Yahudi sepertimana sama halnya mereka yang meminum sesuatu minuman dan mendatangkan kesegaran.  Perbuatan ini membawa kepada kekufuran. 

7. Maka apabila tidak merujuk kepada Allah, maka akan datang yang selain Allah iaitu iblis dan syaitan.  Iblis dan syaitan adalah musuh manusia yang utama.  Apabila manusia enggan kepada Allah maka Iblis dan syaitan meletakkan pula rasa ketenangan pada ketika manusia melakukan kecurangan dan perlanggaran terhadap Allah. Bagi yang muslim, ramai orang merasa tenang pada ketika memakai seluar pendek, tidak bertudung bagi perempuan muslimah,  berpolitik dengan sistem sekular, menolak hukum Hudud dan Qisas,  memperjuangkan kebathilan dan seterusnya.  Kesenangan di sisi  mereka lantaran penentangan terhadap hukum Allah adalah kemurkaan di sisi Allah. 

Perbincangan 4

 
8. Dalam bahagian akhir ayat ini Allah menempelak Yahudi dengan menyatakan bahawa apa yang disuruh oleh iman mereka adalah kejelekan.  Perbuatan jelek yang bertentangan dengan iman kepada Allah akhirnya telah membatalkan iman manusia kepada Allah.  Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyatakan bahawa perbuatan Yahudi adalah bertentangan dengan apa yang diturunkan dalam Taurat.  Perbuatan membunuh Nabi-Nabi mereka adalah timbul dari perasaan iri hati, dengki dan sombong terhadap Rasul Allah.  Malahan Ibnu Kathir menyatakan perbuatan ini tidak lain hanya mengikut hawa nafsu manusia sahaja, 

9. Justeru Allah dihujung sekali dalam ayat ini seolah-olah membuat sindiran sekiranya manusia itu beriman kepada kitab – mu’min, kenapa perbuatannya bertentangan dengan apa yang ada dalam kitab Allah?  Sekiranya manusia sudah tidak mengikut perintah Allah dalam kitab apakah mereka mu’min lagi disisi Allah?   Jadual di bawah menunjukkan perkara yang dikehendaki Allah dan yang dilakukan oleh manusia yang mengakui beriman kepada Allah.




BIL PERINTAH AL-QUR’AN PERBUATAN MANUSIA YANG MENGAKU BERIMAN KEPADA ALLAH
1. MENUTUP AURAT MENDEDAH AURAT
2. BERNIAGA YANG DIHALAL ALLAH MENGGUNAKAN KAEDAH RIBA
3. MEYAKINI QISAS MENENTANG HUKUM ALLAH
4 HUKUM ALLAH – KEAMANAN BUAT HUKUM ALLAH – EKONOMI JATUH
5. POLITIK SECARA ISLAM POLITIK KAEDAH SEKULAR
6. MENYOKONG ISLAM MENYOKONG KETUANAN MELAYU


KESIMPULAN 

1. Orang yang mu’min itu perkataan dan perbuatan adalah sama.  Perbuatan yang dilakukan dalam kehidupan adalah berasaskan arahan daripada Al-Qur’an dan Sunnah Nabi Muhammad saw

2. Mengingkari perjanjian dengan Allah akan menyebabkan terputusnya hubungan antara manusia dengan Allah.  Ingkar kepada perintah Allah adalah perbuatan syaitan.

3. Sindiran daripada Allah terhadap manusia yang mengikut hawa nafsu dan menentang Allah “apakah mereka itu masih mu’min”?