10 April 2010

Kalimat 2: Orang Mukmin Mestilah Menghayati Isi Al Quran dan Tidak Menolak Mana-mana Ayat Al Quran

Menghayati Kalimat Mu'minin  2: Surah Al Baqarah 91



Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepada Nabi Muhammad)", mereka menjawab: "Kami hanya beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kami (Taurat)". Dan mereka ingkarkan (Kitab) yang lain yang diturunkan kemudian daripadanya, padahal Al-Quran itu benar lagi mengesahkan Kitab Taurat yang ada pada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika demikian mengapa kamu membunuh Nabi-nabi Allah pada masa yang lalu jika kamu benar-benar orang-orang yang beriman?".   (2:91)



ASBABUN NUZUL AYAT

      Imam Jalaluddin As-Sayuti dalam kitab Asbabun Nuzul yang diterjemah oleh KHQ Saleh (2004) menyatakan bahawa pada ayat 89 surah Al-Baqarah dturunkan ayat yang menceritakan kekufuran yahudi terhadap Allah.  Yahudi Khaibar adalah puak yang sentiasa bertempur dengan Arab Ghatafan.  Pertempuran antara keduanya yang sentiasa kalah ialah Yahudi Khaibar.  Kemudian Yahudi Khaibar memohon pertolongan dengan berdoa “Ya Allah sesungguhnya kami meminta kepadaMu dengan hak Muhammad Nabi yang ummi yang telah Engkau janjikan kepada kami, akan Engkau utus di akhir zama.  Tidakkah engkau akan menolong kami untuk mengalahkan mereka?  Dalam pertempuran seterusnya Yahudi Khaibar terus berdoa dengan doa ini maka dikurniakan kemenangan oleh Allah.  Akan tetapi apabila Nabi Muhammad saw diutus kepada mereka, Yahudi menjadi kufur kepada Allah 
(diriwayatkan oleh Al-Hakim dari Ibnu Abbas)

GAMBARAN AYAT
Ayat ini Allah hendak menerangkan sifat-sifat bangsa Yahudi yang menolak Al-Qur’an dengan segala isi kandungannya, membunuh Nabi-Nabi dan merasa yakin bahawa apa yang ada pada mereka adalah benar.  Yang ada di sisi Yahudi telah dimansuhkan dengan kedatangan Kitab Al-Qur’an.  Sikap keras kepala bangsa Yahudi kekal hingga hari Kiamat dengan menegakkan perkara yang batil.  Konsep kononnya Yahudi adalah bangsa pilihan alam telah disalahertikan sehingga menggejala dikalangan mereka gelaja kafir iaitu menolak ketentuan Allah.


TAFSIRAN

Perbincangan 1



1. Perkataan mu’min kali ini dikaitkan pula dengan keimanan kepada isi kandungan kitab Allah.  Cabaran Allah tertuju kepada hati dan akal manusia.  Ayat ini dituju kepada Yahudi yang membuat kenyataan bahawa Taurat adalah kitab mereka dan menolak Al-Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw.

2. Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyatakan bahawa wujud budaya menolak kitab Al-Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw oleh kalangan Yahudi dan Ahlul Kitab.  Yahudi dan Nasrani menyatakan cukuplah dengan kitab Taurat dan Injil.  

3. Budaya menolak isi kandungan Al-Qur’an bukanlah budaya yang asing dalam kehidupan manusia.  Ia sudah berlaku di zaman Nabi Muhammad saw.  Yahudi dan Nasrani di zaman Nabi Muhammad saw telah menolak Al-Qur’an.  Budaya ini terus dituruti oleh manusia yang kemudian tanpa mengira warna kulit, bangsa dan adat.  Termasuk juga sebahagian bangsa Melayu juga  menolak Al-Qur’an.  Golongan yang menolak Al-Qur’an dari kalangan sebahagian bangsa Melayu  meyakini bahawa ketuanan Melayu adalah penyelamat bangsanya daripada Al-Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw.  Di sisi Yahudi ada Taurat dan mereka menolak Al-Qur’an.  Di sisi Nasrani ada Injil dan mereka menolak Al-Qur’an.  Di sisi sebahagian bangsa Melayu ada ketuanan Melayu dan golongan ini menolak Al-Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw.

4. Contoh Ketuanan Melayu “Tidak Melayu Hilang Di Dunia”.  Ini tidak boleh diamalkan dalam kehidupan.  Melayu akan kekal sekiranya kekal dengan Al-Qur’an.  Berapa banyak kaum sebelum wujudnya bangsa Melayu yang dihapuskan Allah kerana menentang Nabi-Nabi.  Kaum ‘Ad, kaum Thamud, Kaum Nabi Lut, Kaum Nabi Nuh, Kaum Firaun yang dilenyapkan oleh Allah ke dalam perut bumi kerana menentang Nabi dan Rasul mereka.  Contoh penentangan kaum ‘Ad diceritakan oleh Allah di dalam surah Hud 53 



 Mereka berkata: "Wahai Hud! Engkau tidak membawa kepada kami sebarang keterangan yang membuktikan kebenaranmu, dan kami tidak akan meninggalkan penyembahan tuhan-tuhan kami dengan sebab kata-katamu itu! Dan kami tidak sekali-kali percaya kepadamu! (11:53)
    

5. Contoh ketuanan Melayu lagi ialah pemerintah Melayu tidak membenarkan orang Melayu mengikuti Al-Qur’an dan kebenaran.  Sekiranya mana-mana ulama, ustaz dan ustazah atau mana-mana individu Melayu yang berprinsip dengan Al-Qur’an maka akan disisih, ditukar tempat kerja, digam dan apa sahaja yang hendak dilakukan pemerintah ke atas mereka.  Inilah gambaran Al-Qur’an yang menceritakan bagaimana pembesar zaman Nabi Syuaib berlaku sombong terhadap Nabi Syuaib dengan memberi kata dua iaitu mereka mahu mengeluarkan Nabi Syuaib dan pengikutnya dari bumi mereka atau pengikut Nabi Syuaib kembali kepada kehidupan memuja berhala-berhala pemerintah itu. Surah Al 'Araf 88


Ketua-ketua yang sombong takbur dari kaum Nabi Syuaib berkata: "Sesungguhnya kami akan mengusirmu wahai Syuaib dan orang-orang yang beriman yang menjadi pengikut-pengikutmu dari negeri kami ini, atau kamu berpindah kepada ugama kami". Nabi Syuaib menjawab: "Adakah (kamu hendak melakukan yang demikian) sekalipun kami tidak menyukainya?  (7:88)


6. Contoh ketuanan Melayu lagi ialah “hanya AMeNO penyelamat bangsa Melayu”. Inilah konsep ketuanan yang bertentangan dengan amalan ketauhidan yang bertunjang dengan nilai Al-Qur’an dan Sunnah.  Orang Melayu yang berilmu dan asas ilmunya adalah  Al-Qur’an dan Sunnah sudah pasti menolak apa sahaja tandingan penyembahan dalam bentuk kekuasaan terhadap Allah.  Berpegang dengan konsep ketuanan Melayu ini maka sebahagian orang Melayu akan terus terbelenggu dengan ikatan menduakan dan mensyirikkan Allah dalam bentuk kekuasaan.  Ini sangat bertentangan dengan konsep bacaan Al-Fatihah dalam solatnya 


Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (1:2)

Juga bertentangan dengan bacaan surah ikhlas dalam tahlilnya


 Katakanlah (wahai Muhammad): "(bahawa Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa (Tunggal);  (112:1)

Apakah AMeNO sama berkongsi dengan Allah dalam mentadbir alam dan orang Melayu.  Justeru orang yang beriman hanya bertawakkal Allah dan berusaha selagi dibenarkan oleh Al-Qur’an dan Sunnah.  Allah berfirman dalam surah Al-Imran ayat 160 dengan penegasan yang tegas bahawa orang beriman mestilah sentiasa bertawakkal kepadaNya.


Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri (bertawakal).  (3:160) 



7. Ketuanan Melayu yang seterusnya hanya Bee En sahaja yang dapat menyelamatkan negara.  Ini juga adalah bertentangan dengan aqidah yang mantap kepada Allah.  Allah memberi kemenangan dalam bentuk beberapa negeri kepada Pee Ar adalah untuk menyelamatkan aqidah bangsa Melayu.  Tiada orang Melayu di negeri yang di perintah Pee Ar yang mati kebuluran.  Yang sebenarnya mengatur kehidupan manusia tidak lain hanya Allah, pemerintah sekelian alam.  Allah bersifat dengan Maha Mengetahui dan tidak memerlukan rakan kongsi dalam pengaturan alam.  Segala kerahsiaan alam adalah dalam pengetahuan Allah.  Demikianlah ditegaskan Allah dalam surah Mujadalah ayat 7 



 Tidakkah engkau memikirkan, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi? Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dia lah yang keempatnya, dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dia lah yang keenamnya, dan tiada yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan Ia ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. Kemudian Ia akan memberi tahu kepada mereka - pada hari kiamat - apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.  (58:7)


Dunia perbomohan juga adalah sebahagian daripada aspek ketuanan Melayu yang sangat jelas kesyirikannya.  Proses memohon kepada yang selain Allah adalah kesyirikan yang jelas.  Permohonan hanya layak dituju kepada Allah.  Hanya Allah yang berkuasa mengabulkan hajat makhluqnya.  Ini ditegaskan oleh Allah dalam Surah Al-A’araf ayat 55 bahawa manusia hendaklah berdoa kepada Allah bagi memohon segala hajatnya.


Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.   (7:55)


Perbincangan 2




8.  Diakhir ayat ini Allah mendatangkan cabaran kepada Yahudi dan sekutunya, sekiranya mereka benar kenapa mereka membunuh para Nabi Allah?  Al-Maraghi dalam tafsirnya menyatakan bahawa perbuatan kufur yang boleh tejadinya kekafiran seperti membunuh para Nabi pada hakikatnya boleh sahaja diwarisi oleh mana-mana bangsa dalam dunia ini.  Ayat ini mahu menjelaskan Yahudi yang benar beriman dengan Taurat tetapi dalam masa yang sama Yahudi yang beriman itu jugalah yang membunuh Nabi mereka.  Yahudi yang beriman dengan Taurat tetapi tidak meyakini kerasulan Nabi Muhammad saw walaupun nama Muhammad dicatat dalam Taurat adalah rasul yang terakhir.  Begitulah keyakinan dualistik Yahudi.  Gambaran sifat buruk Yahudi dan Nasrani dinyatakan oleh Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 146



Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).   (2:146)


9. Perbuatan seperti Yahudi dan Nasrani ini boleh juga wujud dalam bangsa Melayu.  Ada melayu yang yakin dengan Al-Qur’an tetapi tidak mahu berjuang dan berjihad menegakkannya.  Ada sebahagian Melayu yang yakin dengan hukum Allah tetapi tetap berhujjah bahawa tidak boleh dilaksanakan kerana di Malaysia ada masyarakat majmuk.  Ada pengerusi masjid yang yakin dengan kebenaran Al-Qur’an tetapi tidak membenarkan pengajaran Al-Qur’an tentang ayat-ayat hukum Allah berlaku di dalam masjid yang selianya.  Para ustaz yang menyatakan kebenaran tetapi tidak dalam selera Pengerusi masjid maka ustaz tersebut akan dicantas. Ini juga adalah dualisme dalam keyakinan. Begitulah seterusnya.
 
Perbincangan 3

 


10. Penutup ayat ini Allah menyatakan tegurannya terhadap golongan yang ada dualisme keyakinan.  Sekiranya kamu benar beriman kenapa masih berdolak dalik?  Sekiranya kamu benar beriman kenapa masih tidak yakin 100% dengan Al-Qur’an?  Justeru orang yang beriman mestilah meyakini apa sahaja perintah Allah di dalam kitab Al-Qur’an dan membuang dualisme keyakinan dalam kehidupannya.  Pasrahnya hanya kepada Allah.  Permintaannya hanya kepada Allah.  Mohon pertolongannya hanya kepada Allah.  Berjuangnya hanyalah untuk menegakkan agama Allah. Berniaganya mengikut yang dihalalkan oleh Allah.  Ditinggalkannya segala yang dilarang oleh Allah. Yang dibuat sehebatnya adalah yang dibolehkan oleh Allah.  Maka terbentuklah kasih dan sayangnya kepada Allah, Rasul, Al-Qur’an dan Sunnah.  Inilah jiwa mukmin yang sejati.


Ustaz Wan Ahmad Tarmizi 2010