19 April 2010

Kalimat 8: Orang Mukmin Mestilah Tidak Membocor Maklumat Penting Kepada Musuh

Menghayati Kalimat Mu'minin  8: Surah Al Imran 28



Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) daripada Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti daripada pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.
(3:28)
    TAFSIRAN  

Sebab turun ayat

      Imam Jalaluddin As-Sayuti dalam kitab Asbabun Nuzul yang diterjemah oleh KHQ Saleh (2004) menyatakan bahawa dalam satu riwayat ada dikemukakan bahawa Al-Hajaj bin Amr yang mewakili pemimpin Yahudi iaitu Kaab bin Al-Asyraf dan Ibnu Abil Haqiq serta Qais bin Zaid telah memikat kaum Ansar untuk memalingkan mereka daripada agama Allah.  Oleh yang demikian Rifa’ah Al-Munzir, Abdullah bin Jubair dan Saad in Hathamah telah memberi peringatan kepada orang-orang Ansar tersebut “Berhati-hati kalian dengan pujukan mereka dan janganlah berpaling dari agama Allah”.  Namun mereka menolak peringatan itu.  Turunlah ayat ini sebagai peringatan untuk tidak menjadikan orang kafir sebagai teman pelindung terhadap mu’min. 

Gambaran ayat 

Ayat ini khusus mengingatkan orang mu’min supaya terus berhati-hati terhadap orang kafir.  Orang kafir yang menentang Allah pada bila-bila masa sahaja berusaha untuk mengeluarkan mereka daripada agama Islam.  Oleh kerana sifat Islam ini adalah suatu agama yang berkembang maka perkembangan Islam yang pantas sangat dicemburui oleh musuh Islam.  Tidak layak orang mu’min itu dalam strategi mengembangkan Islam menjadikan musuh mereka sebagai teman.  Namun Islam tidak sama sekali melarang penganutnya berkawan dengan orang kafir.  Mana-mana yang boleh mendatangkan manfaat untuk Islam dipersilakan. 


Perbincangan 1  
 

1. Ayat ini dimulai dengan suatu pernyataan tegas daripada Allah iaitu Laa Merujuk kepada tafsir Al-Maraghi beliau menyatakan maknanya ialah sekali-kali jangan.  Ini merupakan kalimah penafian yang jelas.  Tiada kompromi sama sekali.  Jadi perkara yang selepas ini adalah perintah dan arahan Allah yang mesti dipatuhi oleh setiap mereka yang beriman.

2. Begitu juga dalam bentuk kalimah aqidah dimulai dengan kalimah Laa penafian yang jelas bahawa “Tiada ilah yang disembah melainkan Allah”  Sekali-kali pun jangan menyembah tuhan yang lain. Yang selayaknya disembah tidak lain hanya Allah.

3. Justeru potongan ayat yang pertama ini suatu gambaran yang hendak dikemukakan oleh Allah bahawa jangan sekali-kali orang yang beriman melanggari perintah Allah.  Mematuhi arahan Allah merupakan suatu kewajipan.  Melanggari perintah Allah bermakna manusia telah mengikuti hawa nafsunya dan meninggalkan Allah. 


Perbincangan 2 


4. Dalam potongan ayat ini pula Allah mendatangkan perkhabaran bahawa selamanya tidak layak orang yang mu’min itu mengambil orang yang kafir sebagai pemimpin (auliya) kepada mereka dengan meninggalkan orang yang mu’min.  Mengambil orang kafir sebagai auliya terutama dalam urusan yang berkaitan dengan agama orang mu’min adalah tidak dibenarkan.

5. Al-Maraghi dalam tafsirnya mengatakan bahawa sekiranya orang kafir diambil menjadi pemimpin terhadap orang mu’min sebenarnya mereka telah mendahului maslahat orang kafir berbanding dengan orang mu’min Seterusnya Al-Maraghi menyifatkan keadaan ini adalah membantu kekufuran dan mengabaikan keimanan. 

6. Perkataan auliya banyak dibincangkan didalam Al-Qur’an.  Fakta melalui Al-Qur’an adalah 
  • Auliya a , auliya u  - 34 ayat
  • Auliya ahu, auliya uhu - 3 ayat
  • Auliya ihim, auliya uhum   - 3 ayat
  • Auliya ikum, auliya ukum - 2 ayat
 Kesemua ayat-ayat diatas menjelaskan betapa pentingnya isu pemilihan ketua didalam kehidupan orang mu’min.  Orang yang mu’min tidak boleh semborono memilih ketua melainkan mestilah mengikut garis panduan Al-Qur’an.

7. Urusan yang langsung tidak dibenarkan adalah yang berkaitan dengan agama seperti menyambut dan meraikan sambutan yang keagamaan - Hari Krismas.  Sekarang yang diamalkan sambutan hari-hari kebesaran agama peringkat Negara. Bertolak ansur dalam bentuk penyembahan juga dilarang seperti dalam surah Al-Kafirun,  Hal yang seperti ini dilarang kerana pada ketika orang mu’min di Madinah masih terdapat dalam suatu keluarga adik beradik yang terdiri daripada Islam, Yahudi dan Nasrani.  Maka urusan yang berkaitan dengan orang mu’min hendaklah kembali dirujuk kepada Nabi Muhammad saw.  Al-Maraghi dalam tafsirnya membuat kesimpulan bahawa Allah melarang kaum mu’min memihak kepada orang kafir baik dalam urusan keluarganya mahupun persahabatan jahiliyah kekufuran. 

8. Dalam hal yang menguntungkan umat Islam, pernah Nabi Muhammad saw bersekutu dengan bani Khuza’ah pada hal mereka kekal di dalam kemusyrikan.  Al-Maraghi juga memberi komentar bahawa dibolehkan orang Islam mempercayai seseorang pemeluk agama lain dan bermu’amalah dengan baik dalam hal-hal keduniaan. 

9. Berdasarkan kepada kerjasama Nabi Muhammad saw dengan Bani Khuza’ah ini maka diadakan pada hari ini tahalluf siyasi kerjasama politik untuk kemaslahatan umat Islam.  Perbezaan yang sangat jelas antara kerjasama dalam Bee EN dengan kerjasama dalam Pe AR.  Pokok persoalan  adalah menterjemah keadilan yang lebih telus.  Keadilan yang lebih telus adalah menghampiri kepada Islam.

10. Bee EN menegakkan keadilan berdasarkan bangsa.  Justeru keadilan pada mereka adalah bersifat kepada bangsa dan segala kepentingannya akan terus dipelihara.  Dari dahulu sehingga sekarang sifat keadilan tersebut tidak pernah berubah.  Keadilan pada Bee EN ialah memelihara pemimpin.  Mana-mana pemimpin kerajaan akan terus terpelihara walaupun secara terang melakukan kesalahan.  Skandal BMF,  Isu Memali, Skandal pemimpin yang rasuah sama ada rasuah seks (peringkat Negeri- Melaka, Perak) mahupun peringkat pemimpin parti kesemua mereka dipelihara oleh keadilan ala Bee EN.

11. Maka tahalluf siyasi adalah jalan keluar untuk menjatuhkan kekejaman, kezaliman dan berusaha menegakkan keadilan yang lebih telus dan menghampiri Islam.  Termasuk memberi undi kepada parti yang bergabung dalam Pe AR. Inilah tahalluf Siyasi.  Kaedah Fiqh juga ada menyatakan “antara dua ketakutan”.  Menangkan Bee EN maka kekallah negara dalam keadaan tidak akan tertegak keadilan Islam.  Berbanding dengan sekiranya memberi undi kepada Pe AR maka keadilan Islam akan terus tertegak.  Inilah bentuk kerjasama dalam Pe AR yang memberi keuntungan kepada Islam berbanding dengan Bee En yang terus mengekalkan dasar perkauman yang sangat bertentangan dengan Islam. 


Perbincangan 3 


12. Dalam potongan ayat ini pula Allah menerangkan sesiapa yang mengambil orang kafir kekasih mereka yang mengancam urusan agama Allah maka terpisahlah ia daripada golongan yang mendapat pertolongan Allah.  Al-Maraghi menyatakan bahawa golongan ini sudah tidak lagi taat kepada Allah dan tidak menolong agamaNya.  Bahkan hubungan keimanan antara dirinya dengan Tuhannya terputus dan termasuklah ia sebagai orang kafir. 

13. Dalam peristiwa hijrah Rasullullah saw Mekah-Madinah terdapat 4 golongan yang diceritakan oleh Al-Qur’an.  Golongan tersebut

    • terus berhijrah apabila disuruh oleh Rasullullah saw
    • bertangguh atas desakan pasangan (suami/isteri) tetapi tetap berhijrah walaupun lambat
    • Tidak mampu berhijrah kerana ketiadaan kemampuan sama ada keuzuran, ketiadaan wang, tidak tahu jalan yang menyebabkab sesat di padang pasir
    • segelintir sahabat yang telah menyatakan keIslamannya kepada Nabi Muhammad saw, namun apabila diminta berhijrah maka memberi pelbagai alasan  sehingga tidak berhijrah.  Mereka berada disisi Abu Jahal dan mempertahankan Abu Jahal kerana projeknya, lot kampong tersusunnya, tawaran ketua JKKKnya dalan lain-lain.  Jumlah mreka adalah seramai 9 orang.  Pada tanggapan Abu Jahal mereka yang masih berada di Mekah adalah kawan-kawannya
14. Tiba datang saat perang Badar.  Mereka yang berada di Mekah dikerah oleh Abu Jahal untuk berperang termasuk mereka yang sudah mengaku Islam tetapi menyembunyikan KeIslamannya.  Kalau tidak pergi nanti apa kata Abu Jahal.  Kalau pergi, pemergian kali ini adalah untuk menentang Nabi Muhammad saw.  Akhirnya mereka membuat keputusan untuk pergi berperang bersama Abu Jahal.  Kesemua mereka 9 orang ini telah mati dalam perang Badar.    Apabila telah selesai perang, Nabi mengurus mayat orang kafir Quraisy dengan meletakkan mereka ke satu wadi.  Lalu Nabi berkata kepada mayat ini

      “Apakah harta yang kamu pertahankan itu (merujuk kepada 9
      orang yang enggan berhijrah) kini dapat membantu kamu
      berhadapan dengan Allah?

15. Jangan sekali kali orang mu’min itu diperalat oleh orang kafir yang menjadi temannya untuk menentang Islam. Orang yang keluar daripada rumahnya untuk menentang Islam maka telah murtad. Begitu juga dengan pemimpin   orang Melayu yang memilih orang mu’min Melayu untuk menentang Islam atau mempertahankan kemungkaran.  Berilah pelbagai alasan yang munasabah.  Jangan beralasan hanya kerana mencari makan dan nafkah.  Beralasan mencari nafkah maka terdapat puluhan ribu kerja yang lebih halal boleh dibuat. 


Perbincangan 4 


16. Dalam potongan ayat ini Allah membicarakan tentang ruksah terhadap ancaman daripada orang kafir.  Sekiranya terdapat ancaman maka menolak darar adalah lebih utama.  Menurut Hassan Soleh (1976) penulis buku “Kaedah-kaedah fiqh Islam” menyatakan salah satu kaedah fiqh Islam ialah menolak kemudaratan adalah lebih utama daripada menerima manfaat. 

17. Al-Maraghi pula menyatakan bahawa sebuah negara Islam boleh sahaja berkawan dengan negara bukan Islam dalam hal menguntungkan umat Islam.  Begitulah sebaliknya apabila persahabatan itu mendatangkan mudarat lebih kepada umat Islam maka persahabatan tersebut dibatalkan atau diputuskan.  Dalam konteks dunia moden hubungan diplomatik adalah penting. Maka negara umat Islam semestinya memutuskan hubungan diplomatik dengan negara yang membunuh umat Islam seperti Israel.  Hubungan diplomatik juga hendaklah diputuskan dengan Amerika yang membunuh umat Islam di Afghanistan dan di Iraq.

18. Begitu juga ruksah dalam bentuk ancaman bunuh terhadap mereka yang beriman kepada Allah. Ancaman tersebut datang dengan diberi pilihan kalau kufur selamat manakala terus beriman maka dibunuh.  Sedangkan hatinya tetap beriman kepada Allah.  Inilah yang berlaku kepada Ammar bin Yassir tatkala kafir Quraisy memaksanya kufur sedang hatinya tetap beriman kepada Allah. Maka turun ayat surah an-Nahl ayat 106


Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar. (16:106)

Demikianlah fiqh Islami terhadap urusan dengan orang yang menentang Allah. Untuk memelihara iman dibenarkan berlaku proses kepura-puraan bagi menyelamatkan diri.  5 perkara yang dibenarkan oleh Islam dalam mempertahankan tujuan-tujuan syariat iaitu ancaman terhadap agama, akal, nyawa, keturunan dan harta benda. 

19. Islam membenarkan penganutnya melakukan apa sahaja untuk mempertahankan tujuan syariat.  Termasuk membunuh atau apa sahaja tindakan.  Sebenarnya kelima-lima perkara ini adalah untuk memelihara kepentingan manusia.  Allah sendiri telah mendatangkan hukumannya terhadap manusia
    Kesalahan Hukum Allah Sebab
    Agama – murtad Bunuh Hina agama
    Nyawa – membunuh Balas bunuh – Qisas Hapus balas dendam
    Hartabenda – curi, rompak (besar) Potong tangan (skala kecil), potong silang Islam Iktiraf pemilikan individu
    Akal – minum arak, qazaf Sebat 80 x Keharmonian hidup masyarakat
    Keturunan – zina Sebat 100x, rejam – mati Kemuliaan zuriat


Perbincangan 5 


20. Potongan ayat ini pula Allah berpesan bahawa setiap diri mu’min hendaklah berusaha menghindari dari berbuat curang terhadap Islam.  Orang mu’min dilarang sama sekali  mendedahkan Islam  kepada kebinasaan.  Kecintaan kepada Allah mestilah menjadi keutamaan.  Orang yang mu’min sanggup melakukan apa sahaja demi untuk Allah dan Rasul.

21. Orang yang mu’min hendaklah menggunakan segala ruksah dalam Islam untuk menjaga kepentingan Islam.  Perjuangan yang berliku dan penuh cabaran memerlukan tektikal yang tinggi.  Sama sekali orang yang mu’min tidak akan menggadai prinsip perjuangan untuk suatu kehidupan dunia yang sedikit.

22. Bagi memastikan Islam terus kental maka diperlukan pendukungnya yang berjiwa tinggi.  Penerusan Islam adalah agenda utama.  Segala maklumat penting dalam perjuangan akan terus dipelihara.


Perbincangan 6 

23. Dalam potongan ayat ini Allah membuat kesimpulan bahawa segala urusan manusia ini adalah kembali kepada Allah.  Akan Allah balas segala perbuatan manusia.sama ada yang mempertahankan agama Allah mahupun yang curang terhadap Allah.  Perbuatan manusia yang curang tidak lain akan disediakan azab oleh Allah.



18 April 2010

Kalimat 7: Orang Mukmin Mestilah Meninggal Riba - Perbuatan Yang Diharamkan Allah

Menghayati Kalimat Mu'minin  7: Surah Al Baqarah 278




Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. 
(2:278)

  
TAFSIRAN

PERBINCANGAN 1 

1. Dalam ayat ini keseluruhannya Allah menggabungkan 3 elemen yang sangat terkait dengan orang yang beriman  iaitu 
    • “wahai orang yang beriman”
    • “bertaqwalah kamu kepada Allah”
    • “sekiranya kamu benar-benar beriman” 
Penggabungan elemen-elemen ini sudah pasti menunjukkan kepentingan ayat yang dinyatakan Allah.  Sedangkan yang diseru Allah adalah kepada manusia yang beriman kepadaNya. 

2. Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyatakan bahawa penggabungan perkataan dalam ayat ini adalah bimbingan langsung daripada Allah terhadap hamba-hambaNya yang beriman.  Yang dimahu Allah ialah hamba-hambanya sangat dekat denganNya, mengasihiNya dan memperolehi rahmatNya.  Dengan bimbingan langsung perkara yang dibenci Allah iaitu penindasan manusia ke atas manusia (riba) maka hamba-hambanya terjauhlah dari murka Allah terhadap mereka di dunia dan akhirat. 

3. Asbabun Nuzul ayat ini, Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini berkaitan dengan Thaqif (dari Bani Amr Bin Umeir) dengan Mughirah ( dari bani Makhzum).  Terjadi riba semasa mereka dalam jahiliyah.  Setelah kedatangan Islam dan mereka memeluknya.  Maka Thaqif meminta hartanya daripada Mughirah.  Mugirah mengatakan kepada Thaqif “ Kami tidak akan melakukan riba dalam Islam dan akan menggantikannya dengan usaha Islami” Utab ibnu Asid pemimpin Mekah mengutus surat kepada Nabi Muhammad saw.  Maka turunlah ayat ini menjawab pertanyaan Utab tersebut.  Setelah diketahui oleh mereka tentang keharaman riba maka mereka pun bertaubat kepada Allah. 

4. Ayat ini dimulai Allah dengan seruan “Wahai orang yang beriman”.  Hanya orang yang beriman bersedia untuk mentaati perintah Allah dalam keadaan senang atau susah. Hanya orang yang beriman sahaja yang bersedia untuk meninggalkan segala kepentingan dunia demi suatu penghidupan yang sempurna di akhirat.

5. Manusia yang hanya berbekal dengan Islam tanpa iman kepada Allah adalah manusia yang engkar.  Digelar mereka dengan gelaran
    • musyrik -  memohon kepada selain Allah 
    • munafik-  iman hanya dibibir dan banyak berpura-pura
    • fasiq -  melakukan amalan dosa yang berterusan
    • fasad -  melakukan kerosakan di bumi  
 Kelompok manusia yang berstatus seperti ini memiliki banyak kepentingan di dunia.  Mereka melihat bahawa kehidupan  ini hanyalah sekali dan untuk itu mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk meraih keuntungan dunia tanpa mengira batas halal dan haram di sisi Allah.  Mereka tidak bersedia untuk mengikut perintah Allah untuk kepentingan kehidupan akhirat yang kekal abadi. 
6. Di dalam Al-Qur’an terdapat 83 ayat yang dimulai Allah dengan seruan “Wahai orang yang beriman”.  Orang yang merasa diri beriman jangan sekali-kali berasa selesa kerana terdapat tuntutan yang banyak untuk dilaksanakan di dalam kehidupan. 


PERBINCANGAN 2 
7. Untuk memperteguhkan larangan yang mesti dijauhi oleh mereka yang beriman maka Allah membimbing lagi dengan perkataan taqwa kepada Allah.  Taqwa kepada Allah adalah mencurahkan kasih sayang kepada Allah dengan mengikut segala yang disuruh oleh Allah dan meninggalkan segala yang dilarang Allah.  Kepatuhan yang tulus ini akan meletakkan orang yang beriman tidak lagi bertangguh di dalam perkara taat kepada Allah.  Mereka dengan sukarela meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah.
 8. Jalan taqwa adalah jalan yang menguji tahap ketaqwaan seseorang kepada Allah.  Peraturan jalan yang dibuat oleh manusia maka mestilah manusia itu mematuhi peraturan jalan.  Ada lampu isyarat, ada tanda had laju, ada tanda tidak boleh U-Turn,  ada tanda tidak boleh berhenti di tepi jalan dan lain-lain tanda isyarat.  Sekiranya tanda-tanda ini tidak dihiraukan maka datanglah saman daripada trafik ke rumah.  Begitu jugalah jalan taqwa yang di sepanjang jalan ini terdapat batas-batas yang dihalalkan Allah dan juga batas-batas yang diharamkan Allah.  Mana-mana manusia yang melanggar batas-batas yang diharamkan Allah maka dia akan dibalas dengan dosa.  Begitulah juga kepada manusia yang mengikut perintah Allah maka dikurnia oleh Allah akan pahala yang berpanjangan. 
9. Dalam suatu hadis Nabi Muhammad saw meletakkan isyarat jelas bahawa Taqwa adalah duduk di dalam hati.  Maka apabila ketaqwaan hendak ditingkatkan dalam kehidupan sudah pasti benda yang dimakan manusia juga mestilah perkara yang dihalalkan Allah.  Keuntungan dari perniagaan yang halal walau kecil adalah halal di sisi Allah dan ia akan memberi kesan yang tinggi terhadap taqwa dan kasih sayangnya kerpada Allah.  Keuntungan dari perniagaan secara riba walau kecil tetap dimurkai Allah.  Hanya manusia yang berkasih dengan Allah sahaja yang mampu menurut segala perintah Allah.


PERBINCANGAN 3 

10. Dalam potongan ayat ini Allah menjelaskan perkara yang mesti ditinggalkan oleh orang yang beriman iaitu riba.  Ibnu Kathir dalam tafsirnya mentakrifkan riba iaitu harta yang merupakan kelebihan dari pokok yang harus dibayar oleh orang lain (peminjam). Pengharaman riba sangat jelas dalam Islam.  Jual beli dalam bentuk riba juga diharamkan Allah.

11. Riba adalah suatu lambang kezaliman.  Mereka yang memiliki modal akan terus menjadi golongan yang menindas yang miskin.  Memang perniagaan secara riba akan terus mengaut keuntungan.  Namun keuntungan tersebut terhasil daripada suatu penindasan sesama manusia.  Justeru Islam dengan tegas meletakkan pengharaman keatasnya.

12. Islam mengangkat suatu jual beli itu melalui aqad.  Status sesuatu jual beli itu terletak pada aqadnya.  Rukun jual beli ada 4 – ada penjual, ada pembeli,ada barang yang hendak dijual dan aqad.  Untuk kegiatan ekonomi hari ini maka orang yang beriman akan terpaksa membuat pinjaman.  Marilah orang yang beriman membuat  pinjaman di Bank Islam atau kaunter perbankan Islam sebagai alternatif terhadap bank konvensional. 


PERBINCANGAN 4 


 13. Dalam potongan akhir ayat ini Allah membuat pernyataan bagi terus memperkukuhkan kedudukan iman dan taqwa.  Sekiranya kamu benar-benar beriman apakah wujud kesanggupan meninggalkan larangan Allah dalam kehidupan ini?  Walau disana ada kepentingan yang sangat banyak dan menguntungkan.  Pernyataan ini juga adalah untuk meletakkan kembali peranan iman dan taqwa.  Belum lagi dikatakan beriman dan bertaqwa sekiranya tidak mahu meninggalkan perkara yang dilarang Allah.  Belum memperolehi rahmat di dunia dan balasan syurga diakhirat kepada golongan yang terus bergelumang dengan perkara yang dilarang Allah.  Al-Qur’an dengan jelas meletakkan pengharaman terhadap riba, arak, judi, tenung nasib, penyembahan berhala, memakan bangkai, babi, anjing.  Tetapi perkara-perkara inilah  yang dihalalkan pemerintah melalui lesen-lesen yang dikeluarkannya secara berleluasa.  Marilah orang yang beriman terus berjihad supaya suasana mungkar ini akan dapat diislahkan kepada yang diredai Allah.