23 April 2010

Kalimat 10: Orang Mukmin Mesti Menjadikan Allah Sebagai Pelindungnya

Menghayati Kalimat Mu'minin 10: Surah Al Imran 68



Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya - umat Islam). Dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman. (3:68)


Asbabun Nuzul

      Imam  Jalaluddin As Sayuti dalam suatu riwayat menyatakan bahawa terdapat Nasrani Najran dan paderi kaum Yahudi berkumpul dan membuat perbincangan di hadapan Rasullullah saw.  Berkata paderi Yahudi bahawa “Sesungguhnya Ibrahim itu Yahudi”.  Nasara pula mendakwa bahawa “Ibrahim itu adalah Nasara” Turun ayat ini mengkisahkan hal yang berkaitan dengan Nabi Ibrahim. 

Gambaran ayat 

Sekali lagi Allah mengaitkan wali bagi orang yang beriman itu tidak lain hanya Allah.  Orang yang berhak mendapat keamanan adalah manusia yang menjadikan Allah sebagai Pelindung (waliy)nya.  Apabila manusia menjadikan Allah sebagai Pelindungnya maka berhaklah ia mendapat keamanan. 

TAFSIRAN
Perbincangan 1


1. Dalam potongan ayat ini Allah siap memaklumkan kepada Yahudi dan Nasrani bahawa yang selayaknya  dan yang paling dekat dengan Nabi Ibrahim ialah orang yang mengikut agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim.  Nabi Ibrahim bukan milik Yahudi atau bukan juga milik Nasrani.  Nabi Ibrahim adalah pembawa agama hanif iaitu agama yang tunduk dan patuh kepada petintah Allah.

2. Al-Maraghi dalam tafsirnya menyatakan bahawa orang yang selayaknya berbai’at dengan Nabi Ibrahim adalah pengikutnya yang mengikuti ajarannya di masa beliau.  Kemudian mereka mengesakan Allah lagi ikhlas terhadapNya dalam beragama.  Golongan ini adalah hunafa’.

3. Dari awal lagi Islam telah meletakkan suatu ketetapan bahawa ia adalah agama sejagat.  Bukan milik mana-mana bangsa.  Perutusan para Rasul oleh Allah adalah untuk rahmat seluruh alam.  Penegasan ini dibuat oleh Allah


Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.  (21:107)

4. Adalah suatu kesalahan dalam pemikiran bangsa Melayu bahawa agama Islam adalah miliknya.  Istilah pemelukan agama Islam tidak berlaku.  Yang  berlaku ialah masuk Melayu.  Justeru amalan yang ada ialah sekiranya orang India masuk Islam dipanggil dalam masyarakat Melayu Indian Muslim.  Kalau orang cina masuk Islam pula dipanggil Cina Muallaf.  Kenapa tidak Cina Muslim?  Maka berdasarkan suasana ini orang India takut masuk Islam sebab dikatakan masuk Melayu maka kekallah dengan gelaran Indian Muslim.  Begitu juga cina yang baru memeluk agama Islam tidak mahu dikaitkan dengan Melayu maka kekallah dengan gelaran cina muallaf.  Lihatlah betapa bangsa Melayu menyempitkan keluasan Islam? 

Pemimpin-pemimpin sekular hari ini terus menyempitkan Islam hanya eksklusif untuk bangsa Melayu.sahaja.  Sehingga ada di kalangan mereka mengatakan bahawa Allah hanya untuk orang Melayu sahaja.  Pada ketika mereka mahu mempertahankan perkataan Allah, berlaku penyakit kronisme. Sekiranya orang cina atau orang India masuk Islam maka siapakah Tuhan mereka?  Marilah diperbetulkan pemikiran ini.  Allah bersifat dengan sifat kesejagatan.  Allah Berfirman dalam Al-Qur’an surah Fatihah ayat 2  


Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.  (1:2)

 Dalam surah An-Nas ayat 1-3 Allah berfirman



Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia. (1) "Yang Menguasai sekalian manusia,(2) "Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia,
 
Maka agama yang diredai Allah juga mestilah bersifat alamiyyah.  Nabi Ibrahim adalah Nabi dan Rasul yang diutuskan juga dengan sifat kesejagatan.  Walaupun Nabi Ibrahim itu datang dari satu bangsa dan rumpun manusia, namun disisi Allah langsung tidak diiktiraf bangsanya kecuali yang mengikuti agama yang dibawanya.


Perbincangan 2 


5. Begitu juga dalam potongan ayat ini Allah menegaskan bahawa orang yang bersama dengan Nabi Muhammad saw itu ialah yang mengamalkan syariat yang dibawa Nabi Muhammad saw.  Mereka adalah golongan orang yang beriman merentas segala sempadan geografi dan batasan waktu sejarah sehingga hari Qiyamat.  Potongan ayat ini menegaskan terdapat 2 ciri manusia yang mendapatkan keamanan iaitu Allah menjadi waliynya dan mengamalkan syariat yang di bawa Nabi Muhammad saw.  Sekadar suatu muhasabah

    •  Bagaimana mereka yang menolak agama? Apakah mereka juga layak mendapat perlindungan daripada Allah di dunia dan akhirat?
    •  Bagaimanakah orang yang mengakui beriman kepada Allah namun hanya memilih amalan agama yang disukainya sahaja seperti solat, puasa, zakat dan haji.  Beliau menolak amalan politik Islam yang diamalkan oleh Nabi Muhammad saw, menolak pemerintahan Nabi Muhammad saw selama 10 tahun di Madinah?
    • Bagaimanakah orang yang mengakui beriman kepada Allah tetapi menyokong mungkar, menyokong pemimpin yang tidak amanah, menyokong pemimpin yang jelas menentng Al-Qur’an seperti isteri yang tidak bertudung?
    • Bagaimanakah orang yang mengakui beriman kepada Allah tetapi menyokong parti yang mendokong kezaliman dan menentang hukum Allah?  
6. Nabi dan Rasul tiada ikatan dengan bangsa.  Rasul adalah utusan kepada seluruh umat manusia.  Apa lagi dengan Nabi Muhammad saw yang diutus kepada seluruh manusia hingga ke Hari Qiyamat.  Yang dinilai Allah ialah ketaqwaan berdasarkan kepada syariat yang disampaikan oleh Nabi Muhammad saw.  Allah berfirman dalam surah al-fath ayat 29


Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.  (48:29)

Perbincangan 3 


7. Dalam potongan ayat ini Allah sekali lagi mengikat mereka yang beriman bahawa yang berhak menjadi pelindung kepada manusia tidak lain hanya Allah sahaja.  Hanya Allah sahaja yang layak memberi perlindungan kepada sesiapa yang dikehendakiNya.   Mana-mana manusia yang berserah diri kepada Allah dengan mengikut segala yang diperintahNya maka Allah adalah menjadi Pelindung kepadanya.


Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal".  (9:51)



Beberapa orang telah mengatakan kepada mereka “Sesungguhnya orang banyak telah mengumpulkan kekuatan untuk melawan kamu sebab itu takutlah mereka!” Tetapi ucapan itu menambah keimanan mereka dan menjawab “Cukup Allah menjadi Pelindung kami dan Pelindung yang sebaik-baiknya.(3:173)



Mereka kembali dan memperoleh kurnia dan pemberian Allah tidak disinggung kesukaran dan menerima pula keredhaan Allah. Dan ingatlah bahawa Allah memiliki limpah kurnia yang amat besar (3:174)

8. Ada manusia melindung diri dengan ilmu kebal namun tiada kekebalan dalam pada ketika berhadapan dengan malaikat Izrail pencabut nyawa.  Ada manusia yang berlindung dengan jin, pelesit dan hantu jembalang namun tiada kekebalan untuk merubah takdir Allah.  Ada manusia yang menjadikan wang sebagai pelindungnya.  Dengan wang segala-galanya boleh dilakukan. Namun tiada kekebalan dalam hal tulisan amalan-amalannya oleh malaikat rakib (penulis amalan kebaikan)  dan ‘atid (penulis amalan kejahatan). Malaikat bertugas mengikut perintah Allah dan tidak boleh dirasuahkan.

9. Al-Qur’an dengan jelas menyatakan bahawa keamanan itu hanya akan diperolehi dari Maha Pelindung.  Perkataan waliy juga cukup banyak difirmankan Allah di dalam Al-Qur’an.  Perkataan waliyyin dan waliyyun difirmankan Allah pada 20 ayat di dalam Al-Qur’an.  Gambaran ini jelas menunjukkan bahawa orang yang beriman yang berhak mendapat keamanan. Maka tidak selayaknya orang yang beriman itu mencari pelindung yang selain Allah.

10. Dunia ini bukanlah segala-galanya.  Ada hajat manusia yang dikabul Allah di dunia.  Ada pula hajat manusia yang dikabul Allah diakhirat.  Ada penganiayaan manusia keatas manusia yang dibalas Allah di dunia dan ada pula penganiayaan manusia ke atas menusia yang dibalas Allah nanti di mahkamah paling adil iaitu mahkamah Allah yang tiada pendakwaraya dan peguanbela.  Yang ada ialah senarai bukti yang diberi kuasa untuk bercakap oleh Allah.  Anggota yang boleh bercakap dipateri Allah.  Firman Allah dalam surah Yasin ayat 65


Pada hari itu Kami (Allah) kunci mulut mereka dan yang bercakap dengan Kami (Allah) ialah tangan mereka dan yang menjadi saksi ialah kaki mereka terhadap apa sahaja yang mereka usahakan. (36:65)


21 April 2010

Kalimat 9: Orang Mukmin Mesti meyakini Mu'jizat Rasul Allah Sebagai Hujah Memperkukuhkan Iman

Menghayati Kalimat Mu'minin  9: Surah Al Imran 49



Dan (dilantikNya) seorang Rasul kepada Bani Israil, (dengan menegaskan kepada mereka): "Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak (kusta), dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman. (3:49)


TAFSIRAN

Gambaran ayat 

1. Ayat ini diturunkan Allah dengan pernyataan keajaiban-keajaiban yang ada disisi Rasul yang diutus oleh Yang Maha Berkuasa dengan meletakkan pada diri Rasul itu pelbagai mu’jizat untuk mengajak manusia kembali kepada keamanan.(beriman kepada Allah). 


Perbincangan  1 

1. Dalam potongan ayat ini Allah menyatakan kepada Bani Israel bahawa diutuskan Rasul-Rasul kepada mereka.  Rasul yang diutuskan untuk kali ini adalah Nabi Isa Al-Maseh.  Kedatangannya sudah suatu keajaiban kerana tidak melalui proses biasa kejadian manusia.  Ini juga termasuk perkara yang mesti diyakini oleh mereka yang beriman bahawa Allah menjadikan Nabi Isa itu dengan meletakkan benihnya pada ibu yang soleh Maryam.  Al-Maraghi meriwayat dalam tafsirnya bahawa wahyu turun kepada Nabi Isa ketika umurnya 30 tahun.  Tempoh wahyu diturunlkan adalah selama 3 tahun, kemudian beliau diangkat ke langit oleh Allah.. 


Perbincangan 2


 2. Tugas Rasul itu tidak lain daripada membawa aayatan (hujah) untuk meyakinkan manusia beriman dengan agama Allah.  Rasul bukan seperti manusia yang memiliki pelbagai kepentingan di dunia.  Tugas Rasul berfokus iaitu untuk mengajak manusia tunduk dan patuh kepada Allah Yang Maha Tinggi.  Bentuk hujah tersebut diterangkan Allah pada potongan ayat seterusnya. 


Perbincangan 3 

3. Mu’jizat Rasul-Rasul Allah adalah mengikut keadaan zaman Rasul tersebut diutuskan  Zaman Nabi Musa mu’jizatnya ialah melawan kehebatan ahli sihir Firaun.  Nabi Musa akhirnya menewaskan keseluruhan ahli sihir Firaun sehingga mereka beriman dengan Allah.  Begitu juga dengan zaman Nabi Isa.  Kesukaan umat Nabi Isa ialah mereka suka kepada burung.  Lalu Nabi Isa menggenggam seketul tanah liat dan membentuk seperti seekor burung lalu ditiupkan ruh kedalamnya.  Dengan izin Allah burung tersebut terbang.   


Perbincangan 4 


 4. Begitu juga mu’jizat Nabi Isa yang kedua ialah menghidupkan orang yang sudah mati dengan izin Allah.  Inilah cabaran yang tinggi daripada Allah kepada manusia pada ketika itu.  Yang berkembang pada ketika itu ialah ilmu kedoktoran sehingga manusia percaya bahawa segala penyakit ada ubatnya.  Mereka mengingkari datangnya kematian dan kewujudan balasan azab.  Mereka menentang risalah kenabian.  Sama juga mereka juga menentang balasan nikmat kepada yang mematuhi risalah kenabian.  Manusia pada pandangan mereka apabila sudah mati maka tiada lagi urusan yang berkaitan dengannya selepas kematian.  Inilah fahaman sekular yang memisahkan hidup di dunia dengan alam akhirat. 

5. Datang Nabi Isa membawa bukti bahawa Allah berkuasa menghidupkan kembali manusia yang sudah mati.  Nabi Isa menghidupkan orang yang mati dengan izin Allah adalah bukti bahawa selepas kematian ada lagi suatu kehidupan yang kekal di sisi Allah.  Perbicaraan di sisi Allah akan dibuat di alam barzah untuk seluruh kegiatan di sepanjang kehidupan.  Lalu Allah akan memberi balasan sama ada balasan yang baik atau yang azab kepada seluruh manusia.

6. Potongan ayat ini dengan tegasnya menyatakan ia bukan sahaja untuk umat Nabi Isa malahan seluruh umat Nabi Muhammad saw bahawa ada kehidupan selepas kematian untuk Allah memberi balasan kepada manusia.  Manusia yang baik akan menerima balasan yang baik daripada Allah. Manusia yang zalim dan menentang Allah akan memperolehi keazaban daripada Allah.  Inilah yang ditegaskan oleh Allah melalui firman di surah Al-Zalzalah ayat   7-8

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan diberi balasan baik (dalam surat amalnya)!  (7) Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan diberi balasan azab (dalam surat amalnya)!(8) 


Perbincangan 5 


 7. Mu’jizat Nabi Isa yang ketiga ini pula ialah hal ehwal yang berkaitan dengan kehidupan seharian manusia.  Apa yang mereka makan dan apa yang  disimpan oleh manusia diisytiharkan oleh Nabi Isa.  Al-Maraghi menyebut dalam tafsirnya bahawa Nabi Isa sering menyebut kepada seseorang apa yang ia makan dan yang bakal ia makan.  Hal yang berkaitan dengan urusan harian ini adalah untuk terus meyakinkan manusia bahawa Nabi Isa adalah Rasul Allah.   Ketepatan apa yang diungkapkan Nabi Isa tentang apa yang dimakan, apa yang akan di makan dan apa yang disimpan di dalam rumah adalah petunjuk jelas bahawa Nabi Isa dianugerah oleh Allah mu’jizat.  Ini tidak lain bagi meyakinkan seluruh golongan tentang risalah kenabian untuk menyelamatkan manusia. 

Perbincangan 6 


8. Kesemua mu’jizat adalah petunjuk benar dari Allah keatas manusia.  Mu’jizat yang pertama dalam ayat ini ialah berkaitan dengan golongan yang suka berhibur dengan  burung.  Datang Nabi Isa berda’wah kepada mereka dengan mengemukakan hujah bahawa Allah yang menciptakan burung.  Kenapa manusia suka berhibur sehingga lupa kepada Pencipta?  Begitu juga mu’jizat kedua ialah untuk meyakinkan golongan yang engkar kepada kehidupan selepas mati.  Ilmu kedoktoran tidak dapat mengatasi takdir daripada Illahi iaitu kematian.  Nabi Isa menunjukkan bahawa Allah siap berkuasa untuk menghidupkan kembali manusia yang sudah mati bagi suatu pengadilan yang maha adil.  Mu’jizat ketiga ialah untuk terus meyakinkan manusia bahawa Nabi Isa adalah Nabi dan Rasul Allah.  Hal-hal yang berkaitan aktiviti harian juga dinyatakan oleh Nabi Isa..  Begitulah kebesaran Allah.  Yang lebih dashyat daripada itu pun boleh dianugerahkan Allah kepada Rasul.


Perbicangan 7 


9. Demikianlah cabaran Allah kepada manusia yang hendak beriman.  Allah mendatangkan tanda-tandaNya untuk difahami oleh manusia bahawa kekuasaan Allah meliputi segala sesuatu.  Tiada kudrat alam yang mengatasi kekuasaan Allah.  Lalu Allah meletakkan petunjukNya ke hati manusia yang mahu beriman kepada Allah.  Inilah hakikat perjuangan dalam kehidupan.  Medan perjuangan itu bukanlah perlumbaan mengejar harta dan laba dalam kehidupan.  Ia akan dihancurkan.  Harta tidak kekal.  Yang kekal di sisi Allah ialah iman dan taqwa.

10. Sekiranya kamu benar-benar beriman maka sudah pasti segala tanda yang didatangkan Allah di dalam kitab akan terus dituruti dan dipatuhi.  Tidak sama sekali ada keazaman yang buruk untuk melawan atau menentang apa sahaja yang dikehendaki Allah.